Mengaku tidak bersalah cuba bunuh tunang bekas isteri

Mengaku tidak bersalah cuba bunuh tunang bekas isteri

MUHAMMAD Hafizi Burhan (memakai baju lokap) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Majistret di George Town, Pulau Pinang semalam. – UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Seorang mekanik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam bagi pertuduhan cuba membunuh seorang lelaki dipercayai tunang kepada bekas isterinya, pada 10 Jun lalu.

Tertuduh, Muhammad Hafizi Burhan, 33, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ooi Sheow Wean.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Hafizi dituduh cuba membunuh seorang lelaki, Mohariez Mokhtar dengan menikamnya menggunakan pisau berukuran lima sentimeter (cm).

Perbuatan itu didakwa dilakukan pada pukul 5.50 pagi, 10 Jun lalu, di koridor Tingkat 9, Flat Taman Jade View, Jalan Bukit Gambir di sini.

Sehubungan itu, tertuduh yang juga bapa kepada dua orang anak itu didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda jika sabit ke­salahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Syairah Aqilah Khalil yang me­ngendalikan kes itu bagaimanapun tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan tertuduh juga hadir tanpa diwakili mana-mana peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes berkenaan.

Sementara itu, Muhammad Hafizi turut berdepan dua lagi pertuduhan berasingan di Mahkamah Majistret Jenayah 2 dan 3 semalam.

Di Mahkamah Majistret Jenayah 3, dia mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas tuduhan telah melakukan ugutan jenayah terhadap bekas isterinya, Asma Wahab.

Mengikut pertuduhan, pada 30 Mei lalu, kira-kira pukul 7 pagi, di Flat Taman Jade View, Jalan Bukit Gambir di sini tertuduh didakwa telah melakukan ugutan jenayah dengan mengeluarkan kata-kata ‘hang buka pintu, aku nak jumpa anak, kalau tak buka, aku bunuh hang’.

Pendakwaan terhadap tertuduh dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×