GEORGE TOWN : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang menjumpai empat bungkusan terapung hablur kristal dipercayai dadah bernilai RM120,000 di perairan Muka Head di sini, hari ini.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Razali Kasim berkata, bungkusan dadah itu dijumpai di
sekitar perairan 4.6 kilometer dari barat kawasan perairan itu pada pukul 12.40 tengah malam tadi.
Katanya, bot peronda yang sedang melakukan rutin penguatkuasaan di kawasan sekitar telah menerima maklumat berhubung aktiviti penyeludupan dadah di perairan Muka Head.
Sejurus maklumat diterima katanya, bot penguatkuasa bergegas ke lokasi aduan dan mendapati sebuah bot dalam keadaan mencurigakan apabila ada pihak sedang membuang beberapa bungkusan bersinar ke laut.
“Anggota bertugas seterusnya memeriksa dan mendapati bungkusan tersebut mengandungi hablur kristal yang disyaki dadah. Namun, mereka yang menaiki bot itu sempat melarikan diri sebelum terus hilang daripada pengesanan radar,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Razali, keempat-empat bungkusan bersinar itu dianggarkan bernilai RM120,000 dan dadah berkenaan dipercayai dapat menampung keperluan seramai 18,000 orang penagih di negeri ini.
“Mereka yang terlibat disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala bungkusan yang dijumpai pula telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, Razali turut memaklumkan, maklumat yang diterima juga tidak terkecuali adalah daripada koordinasi Ops Bersepadu yang telah dijalankan sebelum ini.
Justeru, katanya, Maritim Malaysia Malaysia berharap penyaluran maklumat seperti ini dapat diteruskan bagi menangani aktiviti penyeludupan dan pembasmian penyalahgunaan dadah di perairan Pulau Pinang.-UTUSAN










