Mara sedia bantu pelajar tidak mampu sambung pengajian

Mara sedia bantu pelajar tidak mampu sambung pengajian

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Amanah Rakyat (Mara) sedia membantu pelajar cemerlang yang miskin daripada tercicir melanjutkan pengajian ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Pengerusinya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sekiranya ada pihak yang mempunyai makluman mengenai perkara terbabit diminta menghubunginya.

“Tolong maklumkan pada saya jika ada pelajar cemerlang yang tercicir daripada melanjutkan pengajian hanya kerana faktor kemiskinan.

“Hanya ilmu yang boleh merubah kehidupan. Mara sedia bantu, insya-Allah,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Asyraf juga berharap, mereka yang ingin melanjutkan pelajaran tidak menolak tawaran ke institusi kelolaan Mara.

“Saya harap jangan sesiapa tolak tawaran ke institusi Mara. Tidak mampu boleh tangguh bayar dan Mara boleh bantu,” katanya.

Asyraf berkata, terdapat 346 institusi pendidikan yang menawarkan pelbagai program yang boleh membantu anak Melayu dan Bumiputera untuk peroleh ilmu dan kemahiran dalam pelbagai bidang di bawah Mara.

Katanya, Mara turut menawarkan program bertaraf sijil kemahiran, sijil profesional, diploma, diploma tinggi, diploma kompetensi, ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah.

“MARA juga mempunyai 57 institusi pendidikan peringkat menengah iaitu Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang berada di seluruh Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, permohonan pinjaman pelajaran Mara dibuka bermula 27 Mei hingga 10 Jun lalu untuk pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang mahu menyambung pengajian.

Permohonan itu bagi golongan yang mahu melanjutkan pelajaran di IPT dalam dan luar negara terpilih. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN