Malaysia, Turkiye meterai MoU G2G, perlihat hubungan akrab, saling mempercayai

Malaysia, Turkiye meterai MoU G2G, perlihat hubungan akrab, saling mempercayai

Mohamed Khaled Nordin (kiri) bersama Presiden SSB, Prof. Dr. Haluk Görgün pada mesyuarat antara kerajaan Malaysia dan Turkiye di Ibu Pejabat Secretariat of Defence Industries di Ankara. - FAUZI BAHARUDIN/ UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANKARA (Turkiye): Malaysia dan Turkiye memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai perolehan kerajaan kepada kerajaan (G2G) untuk produk pertahanan, seterusnya dilihat menjadi bukti kepada hubungan saling mempercayai antara kedua negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, MoU G2G itu juga dilihat penting memandangkan tidak pernah dimeterai oleh Malaysia dengan negara-negara lain sebelum ini.

Katanya, kerjasama itu sekali gus mencerminkan hubungan rapat selain berasaskan kepercayaan, hormat-menghormati dan keinginan membantu antara kedua-dua negara.

“Jika elemen itu tidak ada, mungkin kita tidak akan berakhir dengan kerjasama seperti ini. Ia juga menggambarkan pengikktirafan Malaysia terhadap kejayaan Turkiye dalam aspek pertahanan.

“Kejayaan dan keupayaan Turkiye merupakan satu kelebihan kerana ia membolehkan Malaysia mempunyai pilihan dan tidak hanya tertakhluk kepad negara tertentu,” katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Secretariat of Defence Industries (SSB) di sini semalam.

Susulan itu, katanya, MoU G2G yang dilihat sebagai detik bersejarah kepada Malaysia bakal dianggap sebagai asas dalam menjayakan sektor pertahanan tempatan.

“Jadi, menerusi MoU itu, kedua-dua negara juga berhasrat memastikan keutamaan diberikan kepada soal perolehan kepada kedua-dua negara.

“Dalam konteks ini, oleh kerana Turkiye menjadi pengeluar, maka republik itu yang akan mendapat kelebihan dalam kita melakukan proses perolehan,” jelasnya.

Sementara itu, MoU G2G berkenaan juga berperanan memastikan pembangunan kemajuan industri pertahanan kedua-dua negara dan bukannya hanya memberi fokus soal perolehan sahaja.

“Kalau Turkiye dapat perolehan, maka kita dapat pembangunan industri pertahanan tempatan. Inilah signifikan MoU ini.

“Ia hanya boleh berjaya sekiranya kedua-dua negara memberi komitmen serta ada nilai kerjasama baik berasaskan kepada kepercayaan dan keyakinan,” katanya.

Selain itu, Mohamed Khaled berkata, Malaysia juga bakal menikmati manfaat seperti tidak melibatkan unsur orang tengah berhubung soal perolehan menerusi penjanjian G2G terbabit. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×