NIBONG TEBAL: Kerajaan tidak akan melanjutkan tempoh kemasukan pekerja Bangladesh yang terkandas ekoran terlepas tarikh ke negara ini yang berakhir 31 Mei lalu.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pengumuman berhubung tarikh akhir itu telah dihebahkan lebih awal.
Katanya, tempoh yang diberikan adalah munasabah, malah, majikan yang ingin membawa masuk pekerja asing ke negara ini mempunyai masa mencukupi untuk berbuat demikian.
“Ketika tarikh (31 Mei) itu ditetapkan, kita telah ambil kira semua proses. Maknanya, bermula dari kuota diluluskan, pemeriksaan kesihatan, mendapatkan visa, atur tiket dan semua itu boleh dilakukan sebelum tarikh akhir.
“Dari 28 Mei sehingga 31 Mei iaitu dalam tempoh empat hari, jumlah kemasukan pekerja asing yang direkodkan lebih 20,000 orang dan apabila kita buat semakan, didapati ada antara mereka yang visanya sudah diluluskan sejak November tahun lepas.
“Kalau majikan betul-betul memerlukan pekerja (asing) untuk kait buah di ladang, visa dah lulus, dapatkan tiket maka datanglah. Mengapa tunggu sampai 31 Mei untuk bawa masuk pekerja asing?” soalnya.
Beliau mengulas rayuan Kerajaan Bangladesh berikutan hampir 17,000 rakyatnya yang mempunyai visa kerja diluluskan, namun terlepas tarikh akhir 31 Mei untuk dibenarkan masuk ke Malaysia.
Terdahulu, Saifuddin mengiringi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak melawat Kompleks Penjara Seberang Perai di Jawi di sini, semalam.
Beliau berkata, unjuran kemasukan pekerja asing mencecah sehingga 2.6 juta orang pada Disember tahun ini dan ia melebihi sasaran Unit Perancang Ekonomi (EPU) iaitu kira-kira 2.5 juta orang. – UTUSAN










