GEORGE TOWN : Polis mengesahkan bahawa pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia Pulau Pinang (JKDM) yang cedera parah akibat tertembak diri sendiri pada 11 Jun lalu dipercayai mahu mencuba pistol jenis CZ sebelum tertekan picu senjata api tersebut.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, pengesahan itu dibuat susulan keterangan yang diambil daripada mangsa pada 19 Jun lalu, di Hospital Seberang Jaya (HSJ).
“Dalam keterangan itu, mangsa telah mengesahkan sendiri bahawa pada hari kejadian,dia telah meminta senjata rakannya iaitu pistol jenis CZ untuk melihat dan mencuba senjata tersebut.
“Ini kerana, mangsa ingin tahu bagaimana senjata jenis CZ berfungsi dan pada masa itu juga, dia tanpa sengaja telah tertekan picu sebelum tertembak dirinya sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, seorang pegawai JKDM tertembak diri sendiri ketika mahu menghadiri latihan menembak di jabatan itu di Seberang Jaya, kira-kira 9 pagi, 11 Jun lalu.
Menurut Hamzah, setakat ini mangsa dalam keadaan sedar sepenuhnya dan berada di Hospital Seberang Jaya.
“Mangsa dalam keadaan stabil dan mampu berkomunikasi, dan dia masih berada di hospital untuk rawatan susulan,” katanya.
Tambah Hamzah, polis juga telah merekodkan keterangan daripada tiga saksi berkaitan kes itu ketika ini.-UTUSAN










