PETALING JAYA: Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) mempersembahkan ‘Kisah Wira Kami’, sebuah inisiatif di bawah program ‘Demi Wira Kami’ untuk mengenang jasa dan pengorbanan para bapa, khususnya anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Siri ’Kisah Wira Kami’ sempena Hari Bapa menampilkan Nur Mahfuzah Mohd. Shukri, yang kini berkhidmat di LTAT dan juga ayahnya, Peg. Waran II (B) Mohd Shukri Abdullah, telah berkhidmat sebagai seorang anggota pasukan Komando ATM.
Kejayaan PW II (B) Mohd Shukri dalam menceburi bidang keusahawan adalah hasil daripada penglibatan awal beliau sebagai salah seorang pencarum.
LTAT amat berbangga dapat menjadi sebahagian daripada kehidupan wira-wira negara dan juga keluarga mereka, seperti Cik Mahfuzah, yang bakal menyulam legasi ayahnya bersama aspirasi masa akan datang.
Ketua Eksekutif LTAT Ashraf Radzi, berkata, komitmen LTAT terhadap anggota ATM bukan sekadar menyediakan perlindungan sosial malah memberikan penghormatan tertinggi terhadap pengorbanan dan kisah kehidupan mereka.
“Di sebalik kegagahan, kegigihan, dan kesetiaan para wira terhadap negara, mereka juga mempunyai kisah kehidupan kekeluargaan yang penuh dengan kasih sayang dan tanggungjawab.
“Pengorbanan wira negara bukan sahaja untuk diingati, tetapi juga perlu dikongsikan dan diraikan oleh masyarakat umum,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya lagi, kisah-kisah ini bukan sekadar cerita biasa tetapi merupakan penghargaan terhadap wira negara bagi memastikan legasi mereka terus kekal hingga generasi akan datang.
“LTAT komited dengan mandatnya untuk memastikan wang simpanan persaraan anggota ATM terus berkembang agar mereka dapat menjalani kehidupan selesa bersama keluarga selepas bersara dari perkhidmatan ATM.
“LTAT turut menawarkan pelbagai manfaat tambahan kepada pencarum dan keluarga mereka dalam usaha menyediakan perlindungan sosial menyeluruh termasuk sokongan pendidikan untuk pencarum dan anak-anak, peluang kerjaya kedua, pengurangan kos sara hidup, serta bantuan kebajikan dan kewangan kepada anggota ATM, anak-anak, dan veteran yang memerlukan,” katanya. – UTUSAN










