Lelaki pandu kereta sambil pegang pistol ditahan - Utusan Malaysia

Lelaki pandu kereta sambil pegang pistol ditahan

TANGKAP layar menunjukkan seorang lelaki memandu kereta sambil memegang pistol di Jalan Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, semalam. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Polis menahan seorang lelaki disyaki individu dalam video tular yang memandu kereta sambil memegang objek menyerupai pistol di Jalan Sultan Mahmud, di sini, kira-kira pukul 4 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor, berkata, lelaki berusia 37 itu ditahan di tepi jalan di Kampung Gong Tok Nasek dekat sini kira-kira pukul 10.20 semalam.

Beliau berkata, pihak polis turut merampas beberapa barang kes milik lelaki terbabit untuk siasatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati suspek memiliki empat rekod jenayah lampau berkait menceroboh dan penyalahgunaan dadah selain turut positif methamphetamine ketika ditahan.

“Turut dirampas sebilah pedang kayu berhulu plastik yang berbalut tali berwarna hitam berukuran 102 sentimeter (cm), sarung pedang sepanjang 76cm dan satu laras pistol bersama kelopak bercetak Glock.

“Sebuah kereta Proton Persona berwarna putih tanpa nombor pendaftaran depan dan belakang berserta anak kunci kereta juga dirampas,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Azli menjelaskan, soal siasat awal terhadap suspek mendapati lelaki itu mengaku terlibat dengan kes yang disiasat dan senjata yang digunakan adalah pistol palsu.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.

Semalam tular di Facebook sebuah video berdurasi 38 saat menunjukkan seorang lelaki memandu kereta sambil mengacu-acukan objek menyerupai sepucuk pistol.

Turut tular di aplikasi WhatsApp beberapa klip audio yang mengaitkan kejadian berkenaan kes penculikan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN