MARAN: “Arwah sempat membuat panggilan telefon bertanya khabar tentang kesihatan saya dan ibunya kira-kira pukul 8.30 pagi dari Kemaman sebelum bertolak ke Melaka.
“Arwah turut meminta kami mendoakan perjalanannya selamat tiba di Melaka selain menyatakan rasa rindu kepada kami,” menurut Mohd Ramli Putih, iaitu bapa kepada seorang pemuda yang maut dalam kemalangan berhampiran Simpang Runchang, tengah hari kelmarin.
Jelas Mohd Ramli, anaknya, Mohd Ariffudin Mohd Ramil, 33, bekerja sebagai polis bantuan Petronas mahu segera pulang ke Melaka kerana dijadualkan masuk bekerja pada pukul 4 petang pada hari kejadian.
Mohd. Ariffudin yang merupakan anak ketiga dari empat beradik itu maut tersepit terlanggar tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam kenderaan Proton Wira yang dipandunya berhampiran Simpang Runchang, Jalan Kuantan-Segamat.
“Anak saya tinggal di Taman Perwaja Kemaman bersama isteri Azida Othman, 33, yang berniaga makanan dan dua orang anak mereka yang masih kecil.
“Arwah yang bekerja di Petronas Melaka pulang ke Kemaman semasa cuti mingguan untuk bersama keluarga,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Perumahan Rantau Perintis Bandar Tun Abdul Razak Jengka semalam. – UTUSAN










