KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan melarikan remaja dan memiliki pistol tiruan yang videonya tular di media sosial, dua minggu lalu.
Mohd. Zul Arifi Mohd. Noor, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood, hari ini.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Mohd. Zul Arifi didakwa dengan niat melarikan seorang remaja lelaki yang berusia 15 tahun.
Tertuduh melakukan perbuatan itu dengan niat menyebabkan mangsa dikurung secara salah dan rahsia di sebuah kedai makan di daerah ini kira-kira pukul 3.30 petang, 13 Jun lalu.
Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan (KK) kerana menculik.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd. Zul Arifi didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan tanpa jenama di lokasi, masa dan tarikh sama.
Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun tahun di bawah Seksyen 32(2) Akta Senjata Berbahaya 1960, jika sabit kesalahan.
Sebaik merekodkan pengakuan tidak bersalah daripada tertuduh, mahkamah menetapkan 25 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Tertuduh kemudian turut dibenarkan diikat jamin RM16,000 dengan seorang penjamin.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu tular di media sosial Facebook sebuah klip video berdurasi 38 saat memaparkan seorang lelaki memandu sebuah kereta sambil mengacu-acukan objek menyerupai sepucuk pistol.
Selain video berkenaan, turut tular beberapa klip audio di aplikasi WhatsApp yang mengaitkan kejadian itu dengan kes penculikan. – UTUSAN










