KLANG: Sebuah kedai emas dekat Pelabuhan Klang, di sini alami kerugian kira-kira RM27,000 selepas disamun seorang lelaki bersenjata api dipercayai pistol, pada petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.115 petang itu, kedai tersebut didatangi suspek yang menangkap pengawal keselamatan sedang bertugas dan membawanya masuk ke dalam kedai.
Kemudian, suspek melepaskan tembakan dua das tembakan ke arah lantai dipercayai bagi menakutkan pelanggan yang hadir supaya melarikan diri sebelum mengarahkan pemilik kedai menuruti arahannya untuk menyerahkan barang kemas.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, bagaimanapun pemilik kedai berkenaan enggan menuruti arahan tersebut menyebabkan suspek lantas mengambil seutas rantai dan dua gelang emas serta dua beg tangan milik pelanggan di atas kaunter jualan.
“Suspek kemudian melarikan diri menggunakan sebuah motosikal jenis Yamaha Y150 berwarna biru, namun nombor pendaftaranya tidak dapat dikenal pasti.
“Bagaimanapun, suspek dipercayai seorang lelaki dewasa, berbadan gempal dan ketika kejadian dia memakai baju lengan panjang berwarna merah, berseluar panjang warna gelap selain memakai helmet putih dengan visor berwarna hitam dan memakai sarung tangan putih,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Jelasnya, dalam insiden tersebut tiada sebarang kecederaan antara pelanggan serta pekerja termasuk pemilik premis dilaporkan dan kedai tersebut dikunjungi Unit Forensik Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor untuk menyiasat.
“Mereka menemui beberapa barang kes yang boleh membantu siasata termasuk satu kelongsong peluru,” ujarnya.
Justeru, polis membuka kertas siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 iaitu kesalahan melakukan rompakan dengan melepaskan tembakan.
“Polis dalam usaha untuk mengenalpasti suspek yang terlibat dan akan membuat tangkapan dalam masa terdekat. Polis juga menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan supaya hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi 03-33762222 bagi membantu siasatan,” jelasnya. – UTUSAN










