KUALA LANGAT: Lebih 100,000 tempat disediakan untuk lepasan sekolah melanjutkan pengajian dalam Program Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sempena penganjuran Hari TVET Negara 2024 selama dua hari di Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Langat bermula esok.
Menurut Ketua Sekretariat Majlis TVET Negara, Dr. Mohd. Faizal Tokeran, sebanyak 1,345 institut TVET di bawah 12 kementerian menyediakan kursus dalam bidang tersebut dari tahap satu hingga tahap tertinggi.
“Sempena Hari TVET Negara kita juga mengalu-alukan kehadiran lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang dan berhasrat melanjutkan pengajian berteraskan kemahiran. Kita ingin mengubah stigma masyarakat bidang TVET sebagai pilihan terakhir.
“Ini disebabkan sejak akhir-akhir ini kerajaan juga memberi penekanan kepada bidang TVET dan peluang-peluang serta potensi yang ada dan imej ikon-ikon TVET yang berjaya kita tonjolkan. Justeru kita menyeru kepada kesemua lepasan sekolah untuk menyertai bidang ini,” katanya ketika meninjau persediaan Hari TVET Negara 2024 yang bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ILP Kuala Langat esok.
Jelasnya, beliau menyasarkan 15,000 pengunjung untuk hadir pada pameran yang disertai institusi TVET dan pempamer dalam bidang aeroangkasa, kenderaan elektrik dan syarikat automatif.
Mengulas mengenai peluang pekerjaan yang ditawarkan sempena Hari TVET Negara tersebut, Mohd. Faizal berkata, sebanyak 3,000 pekerjaan ditawarkan dengan kerjasama pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di bawah program Kemahiran dan Keberhasilan pekerja, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).
“Sebanyak 20 buah syarikat termasuk Proton dan syarikat berkaitan teknikal akan membuka reruai untuk orang ramai mencari peluang pekerjaan.
“Selain itu sebanyak 477 program dan aktiviti bersempena Hari TVET Negara 2024 ini telah dilaksanakan oleh pelbagai pihak bermula 8 Mei lalu sehingga 8 Jun ini,” ujarnya.
Mengulas lanjut beliau berkata, Perdana Menteri juga akan melancarkan Dasar TVET Negara 2030 pada hari perasmian tersebut.
Katanya lagi, dasar tersebut merupakan rujukan komprehensif yang menetapkan aspirasi dan hala tuju kerajaan bagi memastikan pelaksanaan TVET secara holistik sehingga tahun 2030. – UTUSAN










