Kesedaran keselamatan di laut masih rendah - Utusan Malaysia

Kesedaran keselamatan di laut masih rendah

Keselamatan laut
PASUKAN Maritim Malaysia menunjukkan demonstrasi berapung untuk hidup pada program Cabaran Berapung Untuk Hidup yang disertai pengamal media dekat Institut Latihan Pengangkutan Laut (Matrain) Pulau Indah di Klang, Selangor. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Kesedaran terhadap keselamatan di air khususnya laut dalam kalangan masyarakat di negara ini dianggap masih rendah berikutan masih terdapat pihak mengabaikan langkah-langkah pencegahan kemalangan.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melaporkan sehingga Mei lalu terdapat 413 mangsa maut dalam kemalangan di laut dan 191 masih lagi hilang daripada keseluruhan 1,091 insiden sejak 2020.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana, Komander Maritim Mohd. Ardi Mat Nawi berkata, justeru Maritim Malaysia memilih tema ‘Berapung Untuk Hidup’ pada Hari Kesedaran Keselamatan Maritim hari ini bagi memupuk kesedaran masyarakat terhadap keselamatan di laut.

“Kita tidak fokus kepada kumpulan tertentu sahaja, sebolehnya maksimumkan kesedaran kepada semua masyarakat agar kita mengurangkan rekod dan juga jumlah kemalangan di laut yang melibatkan kehilangan nyawa.

“Kita amat mementingkan keselamatan di laut kerana kita percaya satu nyawa adalah sangat berharga. Jadi, kita cuba pupuk masyarakat supaya cakna dan mementingkan keselamatan di laut,” katanya kepada pemberita pada program Cabaran Berapung Untuk
Hidup, semalam.

Tambahnya, masyarakat disarankan menyertai kelas atau latihan penyelematan untuk mempelajari teknik berenang serta kaedah survival di laut.

“Masyarakat ada peluang untuk menyertainya yang mana terdapat peluang untuk mempelajari tips dan teknik survival di laut, kerana kita tidak menyekat mana-mana pihak sebaliknya amat mengalu-alukan semua pihak untuk menganjurkan program seperti itu.

“Sebelum ini Maritim Malaysia juga mengambil pendekatan untuk mendekati dan menyebarkan kesedaran keselamatan di sekolah serta kolej dan universiti,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Ardi mengingatkan pengusaha-pengusaha feri dan pusat peranginan yang menawarkan pelaksanaan aktiviti di laut supaya menyediakan kelengkapan keselamatan.

“Kita mengarahkan mereka mengutamakan keselamatan seperti yang kita nasihatkan seperti pemakaian jaket keselamatan dan menyediakan kelengkapan keselamatan di dalam vesel dan juga memastikan selamat sebelum memulakan sebarang aktiviti,” tegasnya.

Katanya lagi, individu yang ingin melakukan aktiviti di laut seperti memancing, berkelah dan sebagainya disarankan supaya memaklumkan kepada ahli keluarga mengenai hasrat mereka bagi memudahkan kerja-kerja mencari dan menyelamat sekiranya berlaku perkara tidak diingini.

“Kumpulan atau individu juga boleh memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan berhampiran di kawasan yang ingin dilakukan aktiviti.

“Selain itu mereka juga boleh memaklumkan kepada Pusat Operasi Maritim yang terdekat dengan tempat mereka mahu melakukan aktiviti supaya mudah Maritim Malaysia melakukan aktiviti penyelamatan jika berlaku kecemasan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN