Kes cuci duit haram dalam radar SPRM

Kes cuci duit haram dalam radar SPRM

MOHAMAD ZAMRI ZAINUL ABIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kegiatan pengu­bahan wang haram semakin membarah dan lebih banyak kes berada dalam radar pihak Suruhanjaya Pencegahan Ra­suah (SPRM) terutamanya melibatkan syarikat korporat dan ahli perniagaan.

Dalam tempoh lima tahun ini, SPRM berjaya membanteras kegiatan ‘mencuci wang kotor’ itu demi menyembunyikan sumber pendapatan mereka yang diperoleh hasil daripada aktiviti haram dan menjadikannya kelihatan bersih supaya sumber wang tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata, sepanjang tempoh itu, kira-kira 300 tangkapan melibatkan kesalahan pengubahan wang haram dibuat membabitkan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM 1.11 billion menerusi rampasan harta alih dan harta tidak alih.

Ini termasuk melibatkan ribuan akaun yang dibekukan berjumlah lebih kurang RM 1.11 billion daripada harta alih dan tidak alih dengan nilai rasuah sehingga jutaan ringgit.

“Terdapat sebilangan penjawat awam yang bersekongkol dengan sindiket-sindiket dan memperoleh kepentingan hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram ini.

“Penglibatan mereka ini dapat dikaitkan dengan kuasa yang dimiliki penjawat-penjawat awam ini untuk membantu sindiket-sindiket dan kemudian menerima hasil daripada aktiviti haram ini melalui suapan yang diberikan sebagai cara mudah untuk mendapatkan pendapatan tambahan secara tidak sah,” katanya di sini semalam.

Menurut Mohamad Zamri, mengikut kepada trend semasa, suspek-suspek ini semakin ramai menyalurkan duit ke akaun mereka di luar negara bagi mengelakkan daripada dikesan.

Jelasnya, kegiatan ini merupakan jenayah yang sentiasa berkembang dan berevolusi serta semakin kompleks de­ngan perkembangan dan ke­wujudan teknologi baharu.

“Penjenayah ini menggunakan pelbagai medium untuk ‘mencucikan’ wang haram termasuk menggunakan syarikat shell (Shell Company) sekali gus merubah jenayah ini kepada jenayah rentas sempadan,” katanya.

Antara kejayaan terbesar pihak SPRM dalam membongkar kegiatan tersebut ialah OP Hacks, Op Tropicana termasuk kejayaan dalam usaha pemulihan asset melibatkan dana 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diseleweng.

OP Hacks yang diketuai oleh Bahagian AML dan Bahagian Perisikan SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya merungkai kegiatan pengeluaran Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu sehingga menyebabkan ketirisan ratusan juta ringgit hasil kepada kerajaan yang sepatutnya diperoleh daripada levi pekerja asing.

Kegiatan itu dilakukan dengan cara menggodam pangkalan data Imigresen dengan memasang pemancar (transmiter) untuk membolehkan anggota sindiket menukar kata laluan pegawai Imigresen dan seterusnya mencetak PLKS dari pusat operasi mereka di luar pejabat Imigresen.

“Dalam operasi itu, sebanyak 147 akaun berjumlah RM9,929,932.38 juta dibekukan dan wang tunai berjumlah RM334,460 turut disita, selain mata wang asing dan 12 kende­raan mewah dan barang-barang berharga.

“Op Tropicana pula dilancarkan bagi melumpuhkan sindiket penipuan pelaburan antarabangsa hasil kerjasama pelbagai agensi berkaitan sehingga membawa kepada pertuduhan terhadap empat orang warga British dan seterusnya membawa kepada pengakuan salah oleh semua tertuduh.

“Sebanyak 74 akaun dibekukan semasa operasi ini melibatkan jumlah keseluruhan akaun berjumlah RM11,626,268.72,” katanya.

Selain itu, kata beliau, beberapa operasi siasatan berimpak tinggi antaranya Op Jaguar iaitu berkaitan pembanterasan sindiket penyeludupan dan penjualan sisik tenggiling di pasaran gelap yang didalangi oleh orang tengah.

Katanya, sindiket ini memberikan suapan kepada beberapa individu daripada agensi penguatkuasaan bagi mengeluarkan sisik tenggiling daripada simpanan agensi penguatkuasaan tersebut yang sepatutnya dilupuskan selepas siasatan diselesaikan.

Hasil operasi ini membawa kepada 12 tangkapan terhadap suspek yang terlibat dan membawa kepada sitaan sebanyak 1.8 tan sisik tenggiling bernilai lebih kurang RM23.4 juta.

Pada masa sama, Mohamad Zamri berkata, kejayaan SPRM melibatkan aspek pemulihan aset yang terlibat dengan dana penyelewengan 1MDB adalah dengan menggunakan pendekatan dua hala iaitu tidak hanya menumpukan tindakan pertuduhan semata-mata.

Sebaliknya, ia termasuk usaha mengembalikan dan membawa pulang aset-aset berkaitan dengan dana 1MDB yang dikesan berada di luar negara pulang ke Malaysia.

“Usaha ini dimulakan sejak tahun 2018 dan pelaksanaan usaha pemulihan aset ini mengikut beberapa kaedah yang ditetapkan dalam Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

“Antara kaedah yang digunakan adalah melalui sabitan jenayah di bawah peruntukan seksyen 55 AMLATFPUAA 2001 dan pemulihan tanpa sabitan jenayah iaitu pemulihan secara sivil di bawah peruntukan seksyen 56 melalui proses permohonan lucuthak tanpa pendakwaan ke Mahkamah Tinggi.

“Ia juga melalui penyerahan secara sukarela menggunakan peruntukan di bawah seksyen 60 AMLATFPUAA 2001.

“Selain itu, SPRM menggunakan peruntukan di bawah Seksyen 92 AMLATFPUAA untuk mengkompaun individu-individu dan entiti-entiti terlibat iaitu satu kaedah berkesan mendapatkan kembali hasil kerajaan yang diseleweng dan telah habis digunakan penerima-penerima tersebut,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN