Kenaikan cukai pintu Selangor belum diluluskan

Kenaikan cukai pintu di Selangor belum diluluskan

PBT haiwan
NG SUEE LIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kenaikan cukai pintu yang dialami penduduk di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) masih belum dimuktamadkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Ketika ini, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu dalam pro­ses penilaian bantahan seba­nyak 22,352 yang diterima selepas tarikh tutup pada pertengahan bulan lalu sebelum memanggil mereka terlibat dalam sesi pendengaran akan datang.

Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan, Datuk Ng Suee Lim berkata, kesemua penduduk yang mengemukakan bantahan akan menerima surat panggilan sesi pendengaran untuk menentukan keputusan bantahan mereka.

“Selepas sesi tersebut, barulah laporannya akan dibentangkan kepada MMKN untuk diputuskan. Sebelum itu, kita akan meneliti semua bantahan yang diterima dan proses akan mengambil masa berdasarkan kepada jumlah bantahan.

“Penduduk masih belum perlu membuat bayaran. Ia adalah proses biasa (seperti dibuat oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj)) yang melalui sesi bantahan dan pendengaran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

MPAJ sebelum ini mengedar notis senarai nilaian baharu kepada 181,144 pemilik pegangan yang mana 85,646 melibatkan pegangan bertanah selebihnya berstrata.

Terdahulu, akhbar ini me­laporkan PBT khususnya MPAJ sedang menjalankan proses penilaian semula aset atau harta­nah di kawasan seliaan mereka.

Hal tersebut menyebabkan berlaku perbezaan pembayaran cukai taksiran sehingga berlaku kenaikan bagi sesetengah aset atau hartanah milik individu.

Bagaimanapun, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau menafikan berlaku tindakan menaikkan cukai taksiran, sebaliknya ia adalah kesan daripada penilaian semula selepas 10 tahun kadar sedia ada digunapakai.

Sehubungan itu, Suee Lim yang juga Ahli Dewan Unda­ngan Negeri (ADUN) Sekinchan menjelaskan, penilaian semula aset dan hartanah sudah pun dimaklumkan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor sebelum ini.

Jelasnya, penilaian tersebut dibuat selepas lebih 25 hingga 30 tahun tiada kenaikan dan ia bermula dengan MPKj terdahulu dan MPKJ pada tahun ini.

“Selepas ini, penilaian semula akan dilakukan oleh Majlis Perbandaran Selayang dan PBT-PBT lain juga akan menyusul. Bagaimanapun, penilaian semula dilakukan kerajaan negeri bukanlah untuk membebankan rakyat.

“Sebaliknya, ia adalah penilaian semula berdasarkan peningkatan pelbagai kos yang perlu ditanggung oleh PBT yang dalam masa sama perlu memberikan perkhidmatan baik kepada rakyat seperti penyelenggaraan jalan, longkang dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN