KDNK Malaysia  berkembang cepat berbanding negara maju

KDNK Malaysia  berkembang cepat berbanding negara maju

OPR dijangka kekal 3.0 peratus walaupun Fed Amerika Syarikat menurunkan kadar faedah di negara itu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bagi suku pertama 2024 berkembang lebih cepat apabila mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak 4.2 peratus berbanding negara maju dan serantau lain. 

Kementerian Kewangan (MoF) berkata, prestasi memberangsangkan itu  turut dicerminkan indikator ekonomi dan kewangan antaranya pasaran buruh menunjukkan momentum pertumbuhan positif dengan kadar pengangguran suku pertama 2024 kekal rendah iaitu 3.3 peratus berbanding 3.5 peratus bagi tempoh sama tahun lalu.

“KDNK negara bagi suku pertama 2024 juga berkembang lebih cepat berbanding negara maju dan serantau seperti Singapura (2.7 peratus), Thailand (1.5 peratus), dan United Kingdom (0.2 peratus).

“Indeks Pelopor terus merekodkan pertumbuhan positif selama empat bulan berturut-turut dengan peningkatan 2.3 peratus, pada Mac lalu.

“Pelancongan domestik merekodkan peningkatan 19 peratus kepada 58.6 juta pelawat pada suku pertama 2024 dengan jumlah perbelanjaan melonjak 25.3 peratus kepada RM24.1 bilion,” katanya. 

MoF berkata demikian dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat bagi menjawab soalan  Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) mengenai unjuran terkini kadar pertumbuhan KDNK bagi tahun ini dan 2025 ekoran prestasi KDNK negara yang mencatatkan 4.2 peratus untuk suku pertama 2024.

MoF juga berkata, prestasi itu juga dilihat menerusi kadar inflasi suku pertama 2024 kekal rendah pada 1.7 peratus, berbanding 3.6 peratus pada suku sama tahun lalu.

“Permodalan pasaran saham mencatat paras baharu melebihi RM2 trilion buat pertama kalinya pada 7 Mei lalu, dan hingga 12 Jun 2024 telah mencapai RM2.059 trilion.

“Indeks FBM KLCI pula terus melepasi paras rintangan 1,600 mata dan berada pada paras 1,608.95 mata pada 12 Jun lalu, dengan catatan pertumbuhan sehingga kini pada tahun ini sebanyak 10.61 peratus.

“Ia antara yang terbaik di rantau Asia dan kedua terbaik dalam kalangan negara ASEAN,” katanya.

Berdasarkan indikator itu, MoF berkata, kerajaan yakin KDNK negara akan mencapai pertumbuhan antara empat hingga lima peratus, tahun ini.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN