Kanak-kanak perempuan jadi mangsa dera di tadika

Kanak-kanak perempuan jadi mangsa dera di tadika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Polis menyiasat dakwaan seorang kanak-kanak perempuan menjadi mangsa dera di sebuah tadika di Bandar Mahkota Cheras, dekat sini.

Kejadian membabitkan kanak-kanak berumur setahun lima bulan itu didakwa berlaku 29 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, ibu mangsa menyatakan ketika mengambil anaknya dari tadika berkenaan kira-kira pukul 7.30 petang pada 29 Mei telah dimaklumkan oleh seorang guru tadika berkenaan bahawa anaknya telah diperlakukan dengan kasar oleh seorang guru lain di tadika tersebut.

“Anaknya itu telah ditarik rambut serta dipicit hidung ketika disuap makanan sehingga mangsa
mengalami sedikit kecederaan,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Katanya, ibu mangsa kemudian tidak menghantar anaknya ke tadika berkenaan selepas kejadian.

“Hasil pemeriksaan dan rawatan terhadap mangsa, pegawai perubatan mengesahkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan kecil tisu dalaman.

“Selain itu, siasatan lanjut juga mendapati tadika terbabit beroperasi hampir tiga bulan tetapi disyaki belum mempunyai lesen sah,” jelasnya.

Menurut beliau, semakan mendapati tadika itu mempunyai sembilan kanak-kanak serta tiga penjaga merangkap guru di situ.

“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan telah dijalankan dibawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.

“Siasatan lanjut masih dijalankan sebelum kertas siasatan dilengkapkan untuk dirujuk ke Pejabat Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.

Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang, Inspektor Muaz Mazlan di talian 017-978880. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN