Kalau pun hendak roboh, janganlah bakar - Mohd. Shafie

Kalau pun hendak roboh, janganlah bakar – Mohd. Shafie

MOHD. Shafie Apdal (dua dari kiri) semasa mengetam padi sebagai simbolik perasmian Lamai Kaamatan Warisan di Penampang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENAMPANG: “Kalau pun hendak roboh rumah, janganlah bakar.”

Itu pandangan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengenai insiden merobohkan rumah penduduk Bajau Laut yang merupakan individu tanpa kewarganegaraan (stateless) di kawasan Taman Marin Tun Sakaran (TMTS), Semporna baru-baru ini.

Beliau berkata, pihak berkuasa berhak untuk melakukan perobohan kerana itu adalah kawasan mereka.

“Sekiranya pihak penguat kuasa ada tanggungjawab dari segi keselamatan, mereka boleh lakukan (roboh) kerana itu bukan tempat mereka (penduduk Bajau Laut). Tapi, kalau pun hendak roboh bangunan, janganlah bakar. Kadang-kadang anak-anak mereka nampak,” katanya ketika mengulas tentang insiden merobohkan rumah di sebuah pulau di bawah kendalian Taman-Taman Sabah (TTS).

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Lamai Kaamatan Parti Warisan (Warisan), di Buhavan Square, di sini hari ini.

Mohd. Shafie yang juga Presiden Warisan berkata, pada masa ini terserah kepada kerajaan negeri untuk mencari alternatif lain sama ada perlu atau tidak menyediakan penempatan semula penduduk Bajau Laut yang terjejas.

Kata beliau, kerajaan negeri yang berkuasa dan yang menjalankan kerja-kerja perobohan juga agensi di bawah kerajaan negeri.

Menurutnya, beliau tahu langkah perobohan itu boleh dilakukan kerana itu bukan tapak penduduk Bajau Laut yang terlibat namun, langkah yang bersifat kemanusiaan harus diambil dalam menangani perkara ini.

Pada Jumaat, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, PDRM memaklumkan bahawa ada pemilik rumah yang bertindak membakar rumah mereka sendiri semasa ketiadaan pasukan operasi untuk ditularkan dalam media sosial.

Tindakan sebegitu dibuat bagi meraih simpati dan perhatian orang ramai.

Christina berkata, pengedaran notis untuk pengosongan 273 buah rumah di kawasan penempatan haram itu telah dikeluarkan pada 2 hingga 4 Mei lalu. Kerja-kerja perobohan pula dilakukan pada 4 hingga 6 Jun lalu dengan melibatkan 138 buah rumah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN