Kaji kelompongan undang-undang, buka ruang sebar ajaran sesat

Kaji kelompongan undang-undang, buka ruang sebar ajaran sesat

MOHD. Naim Mokhtar melancarkan kit pendakwa syarie pada Majlis Al-Liqa' Al- Qanuniy 2024 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Penyebaran ajaran sesat di negara ini terutama yang menggunakan saluran media sosial disifatkan berada pada tahap membimbangkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, perkara itu dipercayai berlaku antaranya kerana wujud ruang kelompongan dari sudut undang-undang untuk menangani kesalahan itu.

Menurut beliau, ia apatah lagi apabila penyebaran ajaran sesat itu berpangkalan di luar negara merentasi sempadan yang menyukarkan tindakan penguatkuasaan dilakukan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Keadaan penyebaran ajaran sesat ini membimbangkan, kenapa ia jadi begitu kerana mereka nampak ada ruang daripada sudut undang-undang, jadi pindaan (undang-undang) perlu dilakukan kepada akta atau enakmen tatacara jenayah negeri-negeri.

“Banyak ajaran- sesat yang digerakkan disebarkan melalui media sosial dan mereka ini sama ada ajaran seperti Si Hulk dan Ahmadi menyebarkannya di luar negara.

“Kalau mereka sebar dalam negara, agak mudah untuk tangkapan dan penguatkusaan dibuat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Program Al-Liqa Al- Qaniniy 2024 di sini hari ini.

Mohd. Na’im berkata, dalam menangani isu ini, Jabatan Pendakwaan Syarie Wilayah Persekutuan mengambil inisiatif untuk membincangkan isu-isu berkaitan kekangan penguatkuasaan kesalahan syariah rentas sempadan.

Katanya, ini termasuk bagaimana tindakan penguatkuasaan boleh diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan melalui atas talian dan berpangkalan di luar negara.

Dalam pada itu, beliau berkata, kesalahan syariah merentasi sempadan fizikal pula adalah seperti mereka yang bernikah poligami di luar sempadan negara tanpa kebenaran hakim syarie di negeri masing-masing.

“Apabila kesalahan itu berlaku, bagaimana bentuk penguatkuasan dan pendakwaan boleh dilakukan jika ia turut melibatkan sempadan fizikal (bukan atas talian).

“Kita mahu kekang apa jua kesalahan berbentuk sebegini termasuk menghina agama Islam sudah tentu perlu ambil tindakan, tetapi mahkamah syariah hanya berbidang kuasa di bawah Perlembagaan ke atas mereka yang beragama Islam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini