GEORGE TOWN : Pengusaha bas ekspres, bas sekolah atau bas persiaran tidak sepatutnya menaikkan kadar tambang susulan penyasaran subsidi diesel di Semenanjung.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini kerana subsidi diesel itu terus diberikan kepada pengusaha-pengusaha terbabit sekaligus menyaksikan mereka tidak terkesan dengan penyasaran subsidi bahan api yang diumumkan oleh kerajaan itu.
“Ini tak sepatutnya berlaku (kenaikan tambang). Subsidi diesel terus diberikan kepada pengusaha bas ekspres dan bas sekolah.
“Mereka tidak ada kesan dari segi kenaikan harga diesel sebab pengusaha bas sekolah, bas ekspres ini sudah sedia terima subsidi,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan 57th ASEAN Senior Transport Offical Meeting (STOM), di sini hari ini.
Anthony mengulas khabar angin mengenai kemungkinan berlaku kenaikan tambang bas ekspres, bas sekolah dan bas persiaran selepas pengumuman kenaikan harga diesel di Semenanjung yang melebihi 50 peratus bermula pada Isnin.
Susulan kenaikan itu, pengguna kenderaan perlu membayar harga baru minyak diesel sebanyak RM3.35 seliter berbanding harga lama RM2.15 seliter di semua stesen runcit.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, pengusaha bas ekspres dan bas sekolah juga diberikan subsidi diesel menerusi kad fleet diesel bersubsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
“Jadi apa yang mendorong mereka (pengusaha bas ekspres dan bas sekolah) menaikkan harga tambang? Itu tidak patut berlaku.
“Kita tidak kawal harga (tambang) bagi bas sekolah, cuma, kita galakkan perbincangan antara pengusaha bas itu dengan pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG),” katanya yang memaklumkan, kadar tambang bagi bas ekspres bagaimanapun tidak boleh dinaikkan sesuka hati kerana ia di bawah seliaan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Sementara itu, mengulas mengenai ura-ura kenaikan harga tambang bas persiaran pula, Anthony berkata, bas tersebut adalah untuk kegunaan pelancong asing dan ia adalah untuk tujuan pelancongan.
“Pelancongan ini untuk pelancong asing, bukan untuk kegunaan harian. jadi, tidak ada subsidi untuk sektor pelancongan.
“Kos pelancongan di negara kita memang cukup kompetatif. Mungkin ada sedikit kenaikan kos untuk pelancong asing, namun, saya rasa ia boleh diterima (untuk pelancong asing),” katanya.-UTUSAN










