IPOH: Seorang jurujual kerugian RM904,000 setelah menjadi mangsa penipuan pelaburan saham melalui laman sosial Facebook.
Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, lelaki berusia 51 tahun itu terpedaya untuk menyertai pelaburan berkenaan setelah melihat iklan di laman sosial pada April lalu.
Katanya, mangsa yang menekan pautan iklan tersebut kemudian dihubungkan kepada aplikasi whatsaap dan berurusan dengan seorang wanita.
“Antara 1 hingga 12 Mei lalu, mangsa telah memasukkan wang berjumlah RM904,000 ke dalam dua akaun berbeza di bawah nama dua syarikat.
“Mangsa hanya menyedari ditipu selepas tidak mendapat pulangan keuntungan yang dijanjikan dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh semalam,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai diingatkan untuk membuat semakan terperinci di pelbagai platform antaranya Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan,” katanya. – UTUSAN










