KUALA LUMPUR : Bagi membantu memudahkan bakal jemaah Umrah selain membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk ke Tanah Suci, Juara Travel & Tours Sdn. Bhd.hadir dengan inisiatif tawaran Pakej Umrah Eko-Mampu pada harga RM5,999.
Pengarah Urusannya, Rosnah Wagino berkata, walaupun harga yang ditawarkan murah, namun dia tidak berkompromi soal perkhidmatan dan bimbingan oleh mutawif yang berpengalaman sepanjang Umrah berlangsung.
“Harga yang ditawarkan mengikut kemampuan, tidak semestinya apabila ke Mekah dan Madinah kena duduk di hotel yang mahal. Kami olahkan mengikut bajet dan ia mudah dan selesa untuk jemaah.
“Apa yang penting ialah bimbingan dan kebajikan setiap jemaah terjamin dengan petugas kami sentiasa bersedia 24 jam di sana.
“Pakej 10 hari lapan malam ini hanya terhad kepada 300 tempat dan dibuka untuk penerbangan pada tiga tarikh iaitu 27, 28 dan 29 Disember 2024. Malah jarak hotel ke Dataran Masjidil Haram hanya satu kilometer dan di Madinah jarak hotel hanya 200 meter dengan penginapan di hotel tiga bintang.
“Pakej ini tidak termasuk makan dan minum. Namun kos tambahan untuk makanan hanya sekitar RM600 seorang,” katanya memberi jaminan jemaah akan menaiki penerbangan Saudi Airlines terus ke Jeddah.
Rosnah menambah, menerusi usaha ini, pihaknya turut menjanjikan pelaksanaan ibadah umrah lebih selamat dan terjamin serta bebas daripada risiko penipuan.
“Kami sedar ramai yang berjaya melakukan umrah secara DIY namun majoriti terdedah kepada risiko penipuan dan terpaksa membayar lebih apabila tiba di sana.
“Atas rasa tanggungjawab, kami melancarkan pakej ini kerana umrah bukan sekadar melancong, ia perlu ada pengisian dan ilmu dalam ibadah,” katanya.
Juara Travel & Tours Sdn Bhd merupakan sebuah agensi pelancongan yang berpengalaman selama 25 tahun dalam menguruskan jemaah umrah dan telah berjaya menerbangkan lebih dari 90,000 jemaah dalam tempoh tersebut.
Tambahan pula, Juara Travel & Tours Sdn Bhd merupakan syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang diiktiraf dan dilesen Lembaga Tabung Haji (TH) serta berjaya mendapat skor markah penilaian tahap operasi di Tanah Suci melebihi 90 peratus selama lima tahun berturut turut.