KANGAR: Kerajaan negeri meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) melaksanakan kajian berhubung keselamatan struktur bangunan Rumah Pangsa Kuala Perlis, di sini, dengan segera.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, mesyuarat semalam telah membuat beberapa pertimbangan berhubung keadaan bangunan milik Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) yang pada peringkat awal didapati tidak selamat untuk diduduki.
Beliau berkata, kajian awal dijalankan terhadap struktur bangunan tersebut menunjukkan bahawa rumah pangsa itu masih boleh dibaiki kerana usianya hanyalah sekitar 25 tahun.
“Satu kajian lanjut akan diserahkan kepada JKR dalam masa terdekat dan segala kos berkaitan ditanggung kerajaan negeri,” katanya dalam sidang akhbar di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Mohd. Shukri berkata, struktur bangunan rumah pangsa itu masih baik namun terdapat beberapa kerosakan mungkin disebabkan oleh faktor air masin.
Beliau berkata, kediaman itu terletak di kawasan lembah dan terlibat dengan air masin sehingga menyebabkan simen pecah dan lekang.
“Berdasarkan kajian awal oleh JKR (rumah pangsa itu) masih boleh dibaiki cuma kita perlu buat kajian selanjutnya. Setakat ini tak ada pemindahan penduduk lagi dan kita akan lihat kajian kedua terlebih dahulu yang dijangka selesai sekitar bulan depan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd. Shukri berkata, kos bagi pelaksanaan kajian tersebut dianggarkan berjumlah tidak melebihi RM50,000.
Katanya, sekiranya berlaku pemindahan penduduk, kerajaan negeri dijangka memerlukan perbelanjaan sekitar RM30-RM40 juta bagi tujuan penempatan baharu dan sebagainya.
“Kerajaan negeri juga merancang untuk mengambil alih bekas bangunan Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) untuk dijadikan penempatan baharu buat pendududk seandainya bangunan berkenaan didapati tidak selamat,” katanya.-UTUSAN










