KUALA LUMPUR: Penyanyi, Jay Jay bakal menjalani rawatan fisioterapi minggu depan selepas tidak boleh menggerakkan tangan dan kaki kanannya seperti biasa setelah menjalani pembedahan pintasan jantung, baru-baru ini.
Isterinya, Zaitoon berkata, selepas sedar dari pembedahan, doktor mendapati di kepalanya ada sesuatu mengganggu saraf di dalam fungsi otak yang menyebabkan penyanyi itu mengalami angin ahmar untuk sementara.
“Alhamdulillah, pembedahan pintasan jantung selama empat jam sebelum ini lancar dan berjaya. Suami juga sudah sedar selepas sembilan jam kemudian, keadaan dia sekarang ini stabil.
“Keadaan dia stabil dan sihat, cuma tangan dan kaki kanannya tidak dapat bergerak seperti biasa. Cuma apabila kita genggam dan memicit kaki dan tangannya itu, dia dapat rasa tetapi tak dapat respons.
“Selepas buat pemeriksaan melalui imbasan tomografi berkomputer (CT Scan), doktor mendapati di kepalanya ada sesuatu yang mengganggu saraf di dalam fungsi otak. Namun, itu hanya sementara dan tidak serius,” katanya.
Tambah Zaitoon, Jay Jay bakal menjalani rawatan fisioterapi selama dua minggu namun bergantung kepada keadaan penyanyi itu.
“Suami sudah dua minggu dipindahkan dari Unit Rawatan Rapi ke wad biasa. Dia juga ada makan ubat untuk mencairkan darah supaya berjalan lancar.
“Suami juga sudah boleh keluar wad pada bila-bila masa sementara menunggu kekosongan di pusat rawatan fisioterapi itu.
“Tetapi buat masa ini, dia tidak boleh berjalan dan berdiri seperti biasa dan perlu menggunakan kerusi roda,” katanya.