KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail meminta semua pihak agar tidak mempolitikkan sebarang program taklimat dan penerangan kewarganegaraan yang dianjurkan pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau berkata, isu kewarganegaraan bukanlah baharu sebaliknya ia turut berlaku sewaktu beliau menjadi wakil rakyat.
“Saya pernah menjadi wakil rakyat beberapa penggal dan banyak pusat khidmat DUN tidak kiralah kerajaan atau pembangkang menerima permintaan daripada rakyat berkaitan permohonan kewarganegaraan.
“Antaranya, melibatkan anak luar nikah, anak angkat, anak lahir luar negara atau ibu bapa berkahwin di luar negara.
“Justeru, janganlah ini (isu kewarganegaraan) dikalutkan sehingga menuduh satu gerakan tersusun untuk memberi kewarganegaraan secara borong,” katanya.
Beliau mengulas isu penganjuran program taklimat dan penerangan kewarganegaraan dianjurkan ADUN Stulang yang dijadualkan pada 30 Jun depan.
Mengulas lanjut, Saifuddin turut meminta semua pihak memberi ruang kepada wakil rakyat untuk menjalankan tugas sesuai dengan tujuan mereka dilantik termasuk menyelesaikan isu kewarganegaraan.
“Malah, pagi ini, saya menerima mesej daripada Ahli Parlimen di Kelantan yang menerima banyak aduan mengenai masalah kewarganegaraan.
“Ini kerana kawasannya berdekatan dengan Siam (sempadan Thailand), banyak kes kahwin dengan warga tempatan. Jadi, apabila wakil rakyat menganjurkan program seumpama ini, ia perlu dilihat daripada kaca mata yang jernih,” katanya.
Pada 8 Jun lalu, majlis taklimat dan penerangan kewarganegaraan anjuran Pusat Khidmat Dun Stulang yang dijadualkan 30 Jun depan, dilaporkan ditangguhkan selepas mencetuskan kontroversi dan kecaman awam.
ADUN Stulang, Andrew Chen Kah Eng yang juga Setiausaha DAP Johor dilaporkan berkata, taklimat berkenaan diadakan bagi menangani isu tidak memiliki status kewarganegaraan atau sijil kelahiran akibat kecuaian ibu bapa, selain sebab-sebab lain.
Bagaimanapun katanya, penganjuran program itu menimbulkan salah faham ramai susulan penularan posternya.
Terdahulu, poster program berkenaan tular media sosial mendapat kecaman dan disifatkan sebagai acara bagi memberi pendatang asing di negeri ini taraf kewarganegaraan.
Malah, ada pengguna media sosial meminta pihak berkuasa menyiasat penganjuran acara berkenaan.
Pemuda UMNO Johor turut mendesak program anjuran Andrew itu dibatalkan serta merta.- UTUSAN









