KLANG: “Saya dijanjikan kerja ‘cleaner’ (pekerja pembersihan) namun ditipu ejen hingga menyebabkan diri terpaksa menjadi pendatang asing tanpa izin (PATI),”.
Demikian luahan seorang wanita warga Indonesia dikenali sebagai Khaly, 39, yang ditahan Jabatan Imigresen dalam operasi besar-besaran di flat Bandar Sultan Suleiman di sini, petang tadi.
Menurutnya, dia memasuki negara ini menerusi ejen pekerjaan dengan bayaran sebanyak lima juta rupiah atau RM1,500 pada Disember tahun lalu.
“Apabila tiba di Malaysia, saya bagaimanapun ditipu ejen berkenaan yang menjanjikan kerja sebagai cleaner.
“Sepanjang tempoh itu, saya terpaksa melakukan pelbagai kerja termasuk menjadi pembantu kedai makan dan menyewa bilik berharga RM400 sebulan,” katanya ketika ditemui pada operasi tersebut.
Khaly yang berasal dari Medan itu antara warga asing yang ditahan selepas dikesan melakukan kesalahan menyalahgunakan permit kerja dan pas sah.
Dalam operasi bermula pukul 5 petang itu, seramai 1,700 warga asing diperiksa bagi proses dokumentasi. Pemeriksaan awal mendapati beberapa kesalahan dikesan antaranya melibatkan tinggal lebih masa, tiada permit sah dan menyalahgunakan pas.
Mereka yang antaranya melibatkan warga Indonesia, India, Myanmar, Nepal dan India itu dibawa ke pejabat Imigresen Selangor bagi tindakan lanjut. – UTUSAN










