PUTRAJAYA: “Semoga kau dan isteri bahagia.”
Itu doa yang dipanjatkan penyanyi, Jaclyn Victor kepada bekas suaminya, Shawn Rivera yang April lalu mendirikan rumah tangga buat kali kedua.
Jac yang mengetahui perkabaran itu menerusi Instagram berharap bekas suami berbahagia dengan perkahwinan tersebut.
“Saya tak pasti ada majlis atau tidak. Berita ini pun saya ketahui menerusi Instagram.
“Apa pun saya tak mahu ambil tahu perkara itu. Asalkan dia bahagia, saya juga bahagia,” katanya.
Jac menjawab berkenaan perkara itu pada sidang media konsertnya petang tadi.
Jac dalam pada itu memaklumkan bekas suaminya yang juga anggota kumpulan Az Yet itu pada awal Mei lalu pulang ke Malaysia untuk bertemu anak-anaknya.
“Dia berada di sini selama satu bulan.
“Dalam apa juga keadaan, dia sentiasa berusaha untuk berhubung dengan anak-anak.
“Seperti saya yang cuba menjadi ibu yang baik, begitu juga dia yang berusaha menjadi bapa yang baik.
“Cuma dia mungkin berdepan cabaran kerana tidak tinggal di Malaysia,” kongsinya.
Jac dan Shawn mendirikan rumah tangga pada 2014 namun bercerai selepas tujuh tahun bergelar suami isteri.
Bekas pasangan itu dikurniaka n dua cahaya mata iaitu Jonah Joshiah Rivera dan Molly Marguerite Rivera.










