PETALING JAYA: Penyanyi, Amir Masdi, 27, berlapang dada terhadap tindakan segelintir peminat yang mempertikaikan pemilihannya selaku vokalis bagi konsert Search Gemuruh yang bakal dipentaskan pada 29 Jun ini.
Kata Amir, dia menghormati pandangan peminat yang meragui kemampuannya membawakan lagu-lagu Search namun tidak membenarkan perkara itu mengganggu persediaannya menjelang konsert berkenaan.
“Saya jarang baca komen di media sosial. Tapi, kalau ada peminat yang mempertikaikan pemilihan saya, itu pandangan mereka.
“Saya akan jadikan komen negatif menjadi pembakar semangat, buktikan yang saya boleh.
“Tugas saya adalah berikan yang terbaik pada konsert itu nanti. Saya harap dapat ubah persepsi mereka,” katanya yang ditemui pada malam gala filem Padu, baru-baru ini.
Anggota kumpulan Search, Kid dan Din dalam kenyataan mereka baru-baru ini menyifatkan pemilihan Amir selaku vokalis bagi konsert berkenaan sebagai tepat.
Bagaimanapun muncul peminat kumpulan itu yang menganggap pemilihan Amir sebagai kurang sesuai disebabkan statusnya sebagai penyanyi ‘mentah’.
Kata Amir, tugasnya tidak lebih sebagai vokalis untuk konsert tersebut dan bukan penyanyi tetap Search seperti yang disangka segelintir peminat kumpulan berkenaan.
Justeru, dia berharap peminat memberinya peluang dan hadir menyaksikan konsert yang akan diadakan di Zepp Kuala Lumpur itu nanti.
“Pemilihan saya tidak membabitkan kontrak untuk diikat sebagai penyanyi tetap.
“Justeru saya hanya jalankan tanggungjawab selaku penyanyi konsert tersebut.
“Konsert ini skalanya besar. Saya harap bukan sahaja dapat kumpul peminat baru, malah timba pengalaman apabila sepentas dengan mereka yang bergelar ‘otai’,” katanya lagi.
Dalam masa yang sama, Amir enggan dikaitkan dengan kemelut dalaman kumpulan Rock bertaraf legenda itu.
“Apa yang berlaku bukan urusan saya jadi saya tak mahu campur tangan. Saya cuma berharap dapat menyampaikan amanah yang diberikan selaku vokalis konsert itu.
“Apa pun saya doakan agar keadaan kembali tenang dan solusi terbaik digunakan untuk meleraikan kemelut yang berlarutan,” jelasnya.