KUALA LUMPUR: Isteri Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dibenar keluar negara sehingga akhir bulan ini selepas Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengembalikan semula pasportnya yang ditahan atas pertuduhan jenayah.
Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan peguam M. Puravalen agar pasportnya dipulangkan sementara bermula hari ini sehingga 30 Jun dan perkara itu tidak dibantah oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Isteri bekas Menteri Kewangan itu dalam afidavit yang diikrarkan bagi menyokong permohonan tersebut menyatakan, beliau perlu menghadiri pameran seni di Basel Switzerland bermula 10 Jun hingga 16 Jun.
Ujar Na’imah, beliau selanjutnya dijadual ke Singapura untuk mengadakan pertemuan dengan pihak-pihak berkepentingan dalam syarikatnya.
Dalam afidavit itu, Na’imah turut melampirkan sesalinan jemputan daripada Art Basel bertarikh 4 Jun lalu bagi menyokong permohonannya.
“Saya juga menyatakan alasan pemilihan tempoh berkenaan semata-mata kerana janji temu telah ditetapkan mengikut kesediaan pelbagai individu yang akan ditemui semasa perjalanan kelak,” ujar beliau.
Pasportnya ditahan oleh mahkamah sejak 23 Januari lalu sebagai sebahagian daripada syarat jaminan berikutan pendakwaan terhadapnya. Beliau turut dibebaskan dengan jaminan RM250,000 dengan seorang penjamin.
Pada tarikh sama, isteri bekas Menteri Kewangan itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan gagal mengisytiharkan 12 harta seperti yang dikehendaki oleh Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Disember tahun lalu. – UTUSAN










