Ikan hiasan penyumbang ekonomi negara

Ikan hiasan penyumbang ekonomi negara

WAN Muhammad Aznan Abdullah tertarik melihat ikan hiasan di sebuah pusat akuarium d George Town Pulau Pinang
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) akan sentiasa menyokong segala usaha dan inisiatif penganjuran pertandingan ikan hiasan yang
diadakan di seluruh negara sejajar dengan hala tuju jabatan iaitu meningkatkan pengeluaran ikan hiasan menjelang 2030.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata industri ikan hiasan mempunyai potensi yang besar untuk menyumbang kepada ekonomi negara, terutamanya dari segi eksport dan pendapatan bagi penternak ikan hiasan.

“Pengeluaran ikan hiasan dijangka meningkat sebanyak 352 juta ekor (bernilai RM550 juta) menjelang tahun 2030. Pada tahun 2023, pengeluaran ikan hiasan adalah sebanyak 241 juta ekor dengan nilai sebanyak RM373 juta dan 21 peratus daripadanya adalah bagi tujuan eksport.

“Pencapaian ini jelas menunjukkan bahawa industri ikan hiasan Malaysia mempunyai potensi yang besar untuk terus berkembang. DOF akan terus komited untuk menyokong industri ini dan membantu penternak ikan hiasan Malaysia mencapai kejayaan di pasaran global,” ujarnya.

Berdasarkan statistik Jabatan Perikanan tahun lalu , Johor menjadi negeri tertinggi bagi pengeluaran utama ikan hiasan dengan nilai sebanyak RM261 juta, diikuti Perak RM87 juta, Pulau Pinang RM8 juta dan Sarawak RM3.5 juta.

Bagi ikan hiasan bernilai komersial (kecuali Arowana) 2023, ikan tetra mencatatkan nilai jualan paling tinggi iaitu RM24.2 juta, diikuti ikan koi RM12.2 juta, ikan discus RM11.3 juta, ikan gupi RM11 juta, ikan molly RM10.8 juta dan ikan laga (betta) RM9.4 juta.

Beliau berkata, Jabatan Perikanan juga telah melaksanakan pelbagai inisiatif antaranya pemberian bantuan peralatan dan makanan ikan melalui Sistem Penyampaian Khidmat Sokongan (SPeKS) Akuakultur setiap tahun. Bantuan khidmat nasihat teknikal berkenaan pemeriksaan kualiti air,
pensijilan dan pematuhan biosekuriti serta beberapa siri latihan kepada penternak ikan
hiasan juga diadakan.

Bagi mempromosikan industri ikan hiasan dan meningkatkan kualiti ikan yang diternak di Malaysia, jabatan juga menggalakkan pengusaha ikan hiasan (penternak/pengeksport) menyertai pameran peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Pada pameran Aquafair Kuala Lumpur 2023, seramai 10 pengusaha telah menyertai reruai yang telah disediakan oleh DOF dan seramai lapan pengusaha termasuk Chew Thean Yeang (CTY) Aquarium Sdn. Bhd.telah menyertai Pavilion DOF Interzoo 2024 di Jerman.

Pertandingan 4th CTY International Guppy & Plecostomus bersekali dengan 2nd Guppy Asia Cup anjuran (CTY) Aquarium Sdn Bhd yang diadakan bermula 21 hingga 23 Jun2024 merupakan acara yang menghimpunkan penggemar ikan gupi dan ikan bandar raya daripada seluruh negara.

Dalam program yang sama turut diadakan Seminar Plecostomus (ikan bandar raya) yang bertujuan bagi memberi kesedaran kepada orang ramai cara yang betul untuk memelihara ikan hiasan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN