PETALING JAYA: Ibadah haji terus menjadi tonggak penting serta simbol penyatuan ummah dalam memperkukuhkan persaudaraan dan kebersamaan umat Islam, melampaui batasan geografi, warna kulit dan budaya.
Seperti diingatkan oleh seorang ulama, ‘ummah ini tidak akan pernah mati’ mencerminkan semangat kebersamaan yang terkandung dalam ajaran Islam di mana jihad dalam bentuk spiritual dan sosial diaplikasikan daripada al-Quran dan sunnah.
Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Dr. Muhammad Nur Manuty berkata, umat Islam perlu mempercayai nasihat jihad daripada al-Quran dan sunnah dalam memperjuangkan hak-hak pembebasan rakyat Palestin.
Katanya, sokongan dari Iran, Malaysia, dan negara-negara Islam lain telah menunjukkan impaknya di seluruh dunia dimana telah berubah dalam aspek politik, ekonomi, sains, dan media.
“Perubahan ini jelas berlaku terutamanya di Gaza dan negara-negara Barat dan perkara ini penting untuk mengingatkan kita tentang penulisan syariah mengenai haji iaitu salah satu konsep penting menunjukkan kekuatan ummah.
“Saya percaya meskipun perkara ini kecil, ia akan membantu meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat Islam terutama di negara-negara kecil sehingga perjuangan terhadap Palestin menjadi lebih berkesan,” katanya ketika berucap di Forum Falsafah Haji: Manifestasi Kesatuan Ummah dan Pembebasan Palestin di Muzium Kesenian Islam Malaysia di sini.
Tambahnya, perjuangan jihad ini adalah suatu langkah yang benar dalam memastikan masa depan Palestin untuk menjadi sebuah negara yang berdikari serta memastikan kepimpinan ummah menjadi lebih baik.
Mengulas lanjut, Nur Manuty berkata, organisasi-organisasi penting Islam dari seluruh dunia boleh memainkan peranan dalam menyatukan ummah selain dari Rabitat al-Alam al-Islami di Mekah dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
“Walaupun OIC mungkin mempunyai kelemahan, ada juga organisasi antarabangsa lain yang boleh memainkan peranan ini bagi mengumpulkan ummah melalui ibadah haji sebagai ibadah yang amat dituntut dalam Islam dan diberkati oleh Allah,
“Ia adalah agenda yang sangat praktikal dan berguna bagi ummah agar semua Muslim tanpa mengira status, bangsa dan warna kulit datang ke Mekah untuk menunaikan haji dan juga ke Madinah bagi ibadat lain agar diberkati oleh Allah SWT,” jelasnya.
Tambahnya, kita dapat melihat peningkatan yang sangat menggalakkan di mana simposium haji menjadi sangat penting untuk melihat banyak pemimpin umat memanfaatkan peluang ini dengan sebaiknya. – UTUSAN










