Hendak cakap pasal agama bukan boleh ikut suka - Utusan Malaysia

Hendak cakap pasal agama bukan boleh ikut suka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUDA-MUDA sudah bergelar haji, tetapi ‘gila-gilanya’ juga masih sama. Barangkali ramai juga bersetuju dengan pandangan ini. 

Tentang bagaimana kita semua melihat Nabil Ahmad, bukan sekadar memegang statusnya sebagai seorang pengacara dan pelawak popular yang hanya bekerja menghiburkan orang di pentas acara. 

Tempoh hari, dalam kesempatan duduk berbual dengan lelaki berusia 40 tahun ini, ternyata di sebalik seorang gura awam, Nabil mempunyai banyak isi cerita dalam kerendahan hatinya sebagai seorang manusia biasa. 

Ya, memang benar dia mampu tersenyum bangga kerana di usia 31 dia sudah bergelar seorang haji. Tetapi, sebagaimana yang diakui Nabil sendiri, dalam senyuman puas, beratnya cabaran tetap harus dipikul seiring. 

“Saya melihat gelaran haji di usia muda ini sebagai satu kelebihan. Memang betul, bila dapat di usia muda, kita rasa ‘eh muda lagi ni’, banyak yang hendak kena sekat daripada segi kelakuan dan sebagainya. 

“Tetapi, di usia muda, Allah SWT sudah bantu kita elak daripada melakukan benda-benda lara. Bagi saya itu kelebihan. Kita yang duduk dalam industri seni hiburan ini lagilah kena seimbangkan. 

“Saya sedar sampai satu tahap mungkin kena pilih apa program yang sesuai dan tidak. Apa limitasi? Sampai tahap mana saya boleh buat? Semua itu ada dalam fikiran saya,” katanya. 

Mengaitkan penyertaannya sebagai seorang jemaah gerakan tabligh, Nabil juga mengakui ia banyak membantunya memahami erti dan menyusun atur hidup dengan akhir tujuan yang satu. Iaitu, kerana Allah.

“Saya sudah sertai jemaah tabligh, jadi secara tidak langsung belajar maksud hidup, agama hendak suruh kita buat apa? Saya boleh jadikan industri seni ini sebagai satu platform buat dakwah. Mungkin saya boleh sasarkan ke arah itu. 

“Kalau masih berada dalam industri, mungkin satu tahap nanti saya akan buat untuk program Oasis, Al-Hijrah atau apa sahaja program keagamaan yang sesuai. Cuma, saya ini pun belum cukup ilmu dan kena tambah ilmu. 

“Hendak cakap pasal agama ini, lagi pula orang macam saya, kita kena pastikan sesuatu perkongsian itu sahih dan betul. Tidak boleh ikut suka. Sedangkan ada ilmuan agama pun orang pertikai, inikan pula orang macam saya. 

“Ia tidak mudah. Tetapi rezeki ternyata masih ada dalam bidang ini, saya cuba juga bataskan apa yang boleh mengikut kesesuaian,” katanya.

Membandingkan dirinya dengan kemunculan artis-atis baharu masa kini, kata Nabil, perbezaannya jauh sekali.

Secara peribadi, baginya, ramai kalangan pendatang muda sekarang lebih pandai menjaga diri dan berkelakuan baik. 

“Dulu, masa zaman saya, kalau lara tu, lara sungguh! Nakal sungguh! Sekarang, saya tengok ramai berkelakuan baik. Mungkin juga kerana sekarang zaman media sosial, jadi mereka tidak mahu kena kecam, dihina atau dimalukan secara terus dan pilih untuk tak buat perkara tidak baik.

“Sekarang, saya pun sudah tak macam dulu. Lepas balik haji, sudah terbiasa orang panggil dengan gelaran itu, ia seakan satu peringatan buat diri ini setiap kalinya. 

“Contohlah, kalau terjumpa artis atau pelakon muda, mereka akan terus panggil saya haji. Jadi, tak akanlah kita hendak buat perangai atau mengurat mereka pula. Situ saja sudah ada titik noktah. 

“Maknanya Allah sudah beri peringatan, saya ini ada gelaran haji, ada isteri, ada anak-anak dan bukannya orang tidak anak-anak dan bukannya orang tidak kenal saya. Hendak buat perangai pun sendiri akan malu. Tiada masa dan tak ada duit hendak buat ‘hal’,” selorohnya.

APA SALAHNYA ANAK MUDA CONTOHI

MENGAJAKNYA berbicara mengenai pengalaman sendiri, kata Nabil, sebenarnya, niat untuk mengerjakan umrah dan haji disemat dalam hati sejak dia belum bergelar seorang selebriti lagi. 

Ketika itu, kata Nabil, dia hanyalah seorang mat despatch yang sering mengeluh tidak cukup wang di poket namun menanam hajat besar mahu memijak Tanah Suci semata-mata kerana mahu menadah tangan, berdoa di tempat yang dikatakan makbul. 

“Masa saya dapat buat umrah, masa itu tidak terfikir pun dapat peluang buat haji. Cuma setiap hari masa 10 malam terakhir di Tanah Suci, saya doa supaya dapat datang lagi ke situ. 

“Sekali dapat jemputan. Saya menangis teresak-esak. Memang satu momen yang sedih sebab masa itu, akaun Tabung haji pun saya tidak ada. Rezeki datang tiba-tiba. 

“Bila ingat balik, ini adalah apa yang saya pernah hajatkan masa usia 19 tahun dulu, masa jadi mat despatch itu. Waktu itu, saya ada dengar ceramah agama dan tempat paling makbul doa adalah di Mekah dan Madinah. 

“Impian saya hanyalah mahu berdoa di tempat paling makbul itu sebab masa itu, saya susah. Tiap-tiap hari ada RM5 saja dalam poket. Itulah duit minyak dan duit makan. Sekarang Allah kurniakan nikmat melebihi apa yang diminta hingga tiada sebab untuk saya tidak bersyukur pada-Nya,” katanya. 

Menurut penyampai radio Era FM ini lagi, dia tentunya gembira seandainya lebih ramai kalangan anak muda mendapat kesedaran untuk melakukan ibadah haji lebih awal sepertinya. 

Kata Nabil, jika apa yang dilakukannya ini mampu menjadi contoh buat anak-anak muda, maka ia tentunya sesuatu yang positif. 

“Tentulah saya mahu lebih ramai anak muda boleh cuba contohi, selesaikan ibadah haji di usia muda. Dulu mungkin orang akan skeptikal, muda lagi tidak payah buat. 

“Tetapi cuba fikir begini, berapa ramai orang muda yang tidak sempat buat haji atau umrah tetapi Allah sudah panggil pulang? 

“Ini bukan paksaan. Tapi pasanglah niat buat ibadah haji dan umrah di usia muda. Apa pun kita buat ia bermula dengan niat. Sama ada niat hendak buat umrah, mahu jadi baik, hendak sempurnakan solat, zikir setiap hari. Walaupun kita tidak mampu hendak buat semuanya sekali, tetapi kita sudah ada niat itu. Orang kata, hendak buat baik ini, Allah sudah kira pahalanya walaupun kita belum buat. Kalau sudah buat, lagi bertambah pahalanya itu. Jadi, ambil peluang itu,” katanya.

DAKWAH DALAM DUNIA SENI

MEMILIH untuk bersama-sama menjalankan tanggungjawab untuk melakukan dakwah kepada orang ramai khususnya kepada golongan selebriti, Nabil terbuka menceritakan pengalamannya kepada pembaca. 

Kata Nabil, sudah tentu dia mahu mengajak lebih ramai anak-anak muda khususnya selebriti dan artis baharu cenderung melakukan kebaikan ke jalan Allah. Tetapi semua itu haruslah bukan dalam bentuk paksaan. 

“Kita pun pernah muda dan kita tahu lenggok dia macam mana. Sebab itu, kalaulah saya mahu berdak wah pun, saya tidak akan guna pendekatan berceramah pada mereka. Biarlah ia lebih santai contohnya dengan mengajak dan melayan mereka berborak dan berkongsi pengalaman kita. 

“Sama ada mereka hendak ambil itu atau tidak sahaja. Niat kita kerana Allah dan harap apa sahaja yang anak-anak muda ini lakukan pun mereka akan ingat dan berbalik kepada Allah. 

“Di penghujungnya, saya selalu akan menasihatkan budak budak muda ini supaya jangan tinggal solat sebab yang berikan hidayah itu Allah. Cuma, usaha hendak dapatkan hidayah itu pun kita sendiri kena buat. 

“Bagi saya, budak-budak baharu ini semua pun tetap kena lalui zaman muda mereka. Supaya mereka dapat rasa macam mana ada populariti, ada duit, jatuh bangun, gagal, hendak bangkit semula, semua itu satu perjalanan,”katanya. 

Bagi Nabil, mengetahui fakta, perasaan dan pengalaman seperti itu menjadikan anak-anak muda dan pelapis dunia seni hiburan ini tahu membuat pilihan hidup. 

“Bagi saya, semua orang tahu yang kita semua akan dipanggil pulang nanti. Cuma, mahu raih pahala, amalan dan bekalan itu sekarangkah atau nanti,”katanya. 

Bagaimanapun, sekali lagi Nabil memuji kehadiran generasi pelapis industri seni hiburan tanah air yang ada pada waktu ini dan menyifatkan rata-ratanya baik dan berbudi pekerti. Malah, menerusi kerancakan isu Palestin, Nabil percaya, ia juga menjadikan ramai kalangan anak muda lebih prihatin dan insaf. 

“Yang mana budak-budak baharu dalam industri seni ini memang baik-baiklah. Nakal pun dalam kategori masih baik lagi. Jadi, mereka ini sebenarnya memang sudah baik dan saya percaya mereka akan jadi lebih baik. 

“Isu Palestin juga menjadikan ramai kalangan anak muda kita makin insaf. Ramai yang saya kenal, memang mereka bantu rakyat Palestin. Buat sumbangan, turun perarakan. Cuma mereka tidak uar-uarkan. Pendek kata, ramai anak muda yang hebat-hebat,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN