Hari Taman Putrajaya 2024 tampilkan suasana desa

Hari Taman Putrajaya 2024 tampilkan suasana desa

Dr. Wan Azizah Wan Ismail melihat kanak-kanak menyertai aktiviti menangkap ikan belut pada Hari Taman Putrajaya 2024 (PPD 2024) di Taman Warisan Pertanian, Putrajaya, semalam. – Mingguan/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hari Taman Putra­jaya 2024 yang berlangsung semalam hingga hari ini di Taman Warisan Pertanian, Presint 16 di sini mengetengahkan suasa­na desa di tengah bandar bagi menggamit kehadiran pengunjung.

Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud berkata, Taman Warisan Pertanian dipilih sebagai lokasi penganjuran kali ini berikutan keunikan dusun dalam bandar yang ditawarkan dengan berkonsepkan ‘agro tourism’.

Menurutnya, bertemakan ‘Men­gimbau Zaman Dulu-Dulu’, Hari Taman Putrajaya menyediakan pelbagai program kepada pengunjung antaranya permainan tradisional, menangkap belut di sawah, menanam padi, demonstrasi menoreh dan memproses getah, mengacau dodol serta aktiviti mengail ikan menggunakan buluh.

“Program anjuran PPj ini bertujuan mempromosi keunikan dan kepelbagaian 12 taman awam yang terdapat di Putrajaya, sekali gus menjadikannya sebagai tarikan pelancongan domestik dan antarabangsa.

“Kita juga ingin dedahkan kepada orang ramai mengenai keperluan mewujudkan taman di kawasan-kawasan kediaman di bandar dan dalam masa sama dapat memberi hasil kepada penduduk untuk dinikmati,” katanya ketika ditemui pemberita selepas perasmian Hari Taman Putrajaya 2024 yang disempurnakan isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di sini semalam.

Fadlun berkata, Taman Wari­san Pertanian adalah lokasi ke­tiga yang dipilih sejak penganjuran kali pertama Hari Taman Putrajaya di Taman Wetland pada 2019, diikuti Taman Wawasan pada 2020.

Jelasnya, pada penganjuran kali ini, PPj mendapat kerjasama rakan strategik iaitu Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Red Adventure Sdn Bhd dan Koperasi Perbadanan Putrajaya Berhad.

Beliau berkata, selain mena­warkan pelbagai aktiviti mena­rik, pengunjung juga boleh me­nikmati bufet buah-buahan pada harga serendah RM10 bagi dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak berumur tujuh tahun ke atas.

“Orang ramai boleh masuk secara percuma dan untuk makan buah-buahan, mereka dikenakan harga yang sangat minimum iaitu RM10 setiap seorang untuk menikmati durian, nangka, manggis, rambutan, duku, langsat dan mata kucing,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN