Guru rugi lebih RM37 juta akibat ditipu 'scammer' sejak 2023

Guru rugi lebih RM37 juta akibat ditipu ‘scammer’ sejak 2023

WAN Hassan Wan Ahmad (tengah) ketika menghadiri Program Kesedaran Anti-Scam terhadap Warga Pendidik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Permatang Pauh, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMATANG PAUH : Sebanyak 1,378 kes sindiket penipuan atau ‘scammer’ membabitkan guru direkodkan sepanjang tahun lepas hingga April tahun ini dengan nilai kerugian dianggarkan mencecah RM37,602, 652.60.

Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, daripada jumlah itu, jenayah komunikasi yang digunakan sebagai modus operandi oleh sindiket tersebut merekodkan kes tertinggi iaitu sebanyak 479 kes.

“Selain itu, jenayah e-dagang (sebagai modus operandi) juga merekodkan kes yang agak tinggi iaitu sebanyak 430 kes, diikuti oleh pelaburan tidak wujud (199 kes), jenayah e-kewangan (121), pinjaman tidak wujud (111) serta ‘love scam’ dengan 38 kes,” katanya sempena Program Kesedaran Anti-Scam terhadap Warga Pendidik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang di sini, semalam.

Program anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) itu berlangsung selama dua hari itu dan melibatkan lebih 500 pentadbir kanan sekolah di lima buah daerah di negeri ini iaitu Timur Laut, Barat Daya, Seberang Perai Selatan (SPS), Seberang Perai Utara (SPU) serta Seberang Perai Tengah (SPT).

Terdahulu, Wan Hassan dalam ucapannya memberitahu, sebanyak 44,096 kes yang membabitkan kerugian mencecah lebih RM1.6 bilion telah direkodkan di seluruh negara sepanjang tempoh yang sama iaitu sepanjang tahun lepas hingga April lalu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, di Pulau Pinang sahaja, sebanyak 61 kes membabitkan guru telah direkodkan dengan nilai kerugian sebanyak RM3,137,529.10.

Katanya, modus operandi yang menggunakan jenayah e-dagang pula mencatatkan bilangan kes tertinggi iaitu sebanyak 22 kes diikuti oleh pelaburan tidak wujud serta tipu penyamaran, masing-masing dengan 11 kes dan lain-lain.

“Angka-angka ini sebenarnya agak besar dan membimbangkan. Justeru, satu pendekatan yang strategik dan berkesan perlu diambil dalam menyemai kesedaran serta kecelikan dalam kalangan guru agar tidak lagi menjadi mangsa jenayah siber,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Wan Sajiri Wan Hassan berkata, kebanyakan guru yang menjadi mangsa ‘scammer’ ini ialah guru wanita yang telah bersara atau yang bakal bersara.

“Bagi saya, jenayah ini sangat membimbangkan dan program kesedaran seperti ini diharap dapat memberikan kesedaran kepada guru-guru supaya lebih berhati-hati termasuk ketika menerima panggilan atau mesej (WhatsApp) daripada orang yang tidak dikenali,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat memberitahu, pihaknya akan terus menjelajah ke seluruh negara untuk mengadakan pertemuan dengan guru-guru bagi membantu mereka meningkatkan kefahaman sekaligus mengelak daripada terus menjadi mangsa ‘scammer’.

“Dalam hal ini, YGMB juga akan berusaha membantu kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan demi kebajikan guru-guru ini,” kata beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×