YGMB perkasa perlindungan warga pendidik

YGMB perkasa perlindungan warga pendidik

ABDUL Muie Ngah (tengah) bersama penerima manfaat kebajikan YGMB pada Persidangan Kebangsaan Pengurusan Pendidikan Pengetua Sekolah Malaysia Kali Ke-63, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keprihatinan terhadap nasib dan kebajikan warga pendidik terus menjadi agenda utama Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) apabila memperbaharui tiga skim perlindungan komprehensif yang dirangka khusus untuk guru serta kakitangan pendidikan di seluruh negara.

Ketua Pegawai Eksekutif YGMB, Datuk Wan Munadi Wan Mamat berkata, tiga skim ber­kenaan iaitu Skim Sejahtera, Skim Kasih dan Skim Aspirasi merupakan pelan perlindungan menyeluruh yang bukan sahaja memberi manfaat kepada ahli, malah turut melibatkan pasangan dan anak-anak.

Katanya, inisiatif berkenaan turut mencerminkan komitmen berterusan YGMB dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial warga pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), selaras dengan cabaran semasa yang semakin kompleks.

“Skim Sejahtera menyediakan perlindungan sehingga umur persaraan maksimum 60 tahun merangkumi manfaat utama termasuk perlindungan kematian akibat kemalangan sehingga RM102,000 dan kematian biasa sebanyak RM52,000.

“Skim itu turut menyediakan perlindungan penyakit kritikal sehingga RM50,000 serta keilatan kekal menyeluruh akibat kemalangan sehingga RM100,000, selain elaun hospital RM50 sehari sepanjang tempoh rawatan.

“Lebih menarik, ahli juga boleh menuntut kos perubatan hospital swasta sehingga RM10,000, kos rawatan klinik dan peralatan sokongan, di samping bantuan guaman sehingga RM30,000 tertakluk kepada syarat yang ditetapkan,” katanya.

Menurut Wan Munadi, warga pendidik yang ingin menikmati perlindungan lebih panjang boleh memilih untuk menyertai Skim Kasih yang diperkenalkan dengan had umur perlindungan sehingga 69 tahun.

“Skim Kasih mengekalkan manfaat komprehensif termasuk perlindungan kematian akibat kemalangan sehingga RM152,000 serta penyakit kritikal sehingga RM75,000. Elaun hospital skim ini turut dipertingkatkan sehingga RM75 sehari, selain manfaat persaraan,” katanya.

Sementara itu, katanya, Skim Aspirasi pula diperkenalkan sebagai pelan perlindungan asas yang lebih mampu milik untuk semua guru, pegawai dan kakitangan KPM.

Melalui skim tersebut, katanya, ahli menikmati perlindungan kematian sebanyak RM52,000 akibat kemalangan dan RM27,000 bagi kematian biasa, selain keilatan kekal menyeluruh (kemalangan) sehingga RM50,000.

“Skim Aspirasi turut menyediakan perlindungan penyakit kritikal sehingga RM25,000 serta elaun hospital RM25 sehari, di samping bantuan kos perubatan hospital swasta sehingga RM10,000.

“Tidak ketinggalan, pelbagai sumbangan khas turut disediakan termasuk bantuan bencana, ragut, hadiah kelahiran anak, hadiah perkahwinan, bantuan anak istimewa dan kos bantuan guaman,” tambahnya.

Dalam pada itu, Pengerusi YGMB, Datuk Abdul Muie Ngah berkata, semua tuntutan akan diuruskan oleh yayasan berkenaan sebelum disalurkan terus kepada ahli atau waris yang sah, tertakluk kepada terma dan syarat semasa.

Katanya, langkah proaktif YGMB itu dilihat sebagai manifestasi komitmen berterusan dalam memastikan kebajikan warga pendidik sentiasa terbela, sekali gus memberi ketenangan fikiran kepada guru untuk terus menabur bakti tanpa kebimbangan terhadap risiko di luar jangka.

“Untuk para guru, rebutlah peluang terbaik yang disediakan YGMB ini. Insya-Allah, ia dapat memberi perlindungan yang baik kepada warga pendidik selepas ini termasuk pasangan dan anak-anak” katanya. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN