PETALING JAYA: Tekanan pengurusan sekolah termasuk arahan yang dianggap ‘mengarut’ antara faktor menyebabkan segelintir guru memilih bersara awal.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, guru terutamanya mereka yang sudah berusia akan seronok untuk meneruskan kerjaya masing-masing jika pengurusan sekolah bagus.
Bagaimanapun, menurut beliau, pengurusan yang gagal mewujudkan iklim dan persekitaran yang kondusif boleh mewujudkan keadaan yang sebaliknya.
“Ada aduan pengurusan sekolah bermasalah, keluarkan pelbagai arahan tidak sewajarnya, jadi rasa tidak selesa dan itu salah satu punca pilih bersara awal.
“Kalau mereka seronok di sekolah itu, walaupun ada sedikit bebanan dan pengetua pandai urus, tiada tekanan, maka tiada masalah.
“Apabila tekanan pengurusan melampau yang langsung tidak tahu ambil hati cikgu, ini menyebabkan guru tertekan dan akhirnya memilih bersara,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau mengulas mengenai alasan atau faktor yang menjadikan ramai guru memilih untuk bersara awal.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan (KPM) dilaporkan mengambil pelbagai pendekatan serta mekanisme untuk menaikkan semangat dan motivasi guru bagi mengelakkan mereka terus memilih untuk bersara awal.
Dalam pada itu, Setiausaha Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres), Mohd. Azizee Hasan berkata, faktor yang turut menyebabkan guru bersara awal kerana mereka terpaksa adaptasi kemahiran baharu terutama ketika pendemik iaitu kemahiran pengajaran secara digital.
Menurut beliau, kemahiran yang memerlukan penguasaan teknologi digital telah memberikan kesukaran kepada guru-guru senior yang tidak terbiasa dengan pendekatan abad ke-21.
“Selain itu, disebabkan masih melaksanakan kerja-kerja pengkeranian yang bukan major seperti membuat pelaporan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD), Sistem Pentaksiran Aktiviti Jasmani Sukan Kokurikulum (PAJSK), pengurusan data murid B40 dan pengagihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP).
“Faktor lain apabila berdepan masalah guru duka lara akibat berjauhan dengan keluarga setelah berkali-kali permohonan pertukaran tidak dilayan. Pilihan untuk kesejahteraan ialah mengutamakan keluarga dahulu,” katanya.
Justeru, beliau berkata, kementerian perlu membuat kajian punca kenapa guru memilih bersara awal dan satu data yang lengkap untuk membantu kementerian membuat pelan tindakan holistik.
Pada masa sama, beliau berkata, aspek kesejahteraan mental dan emosi guru perlu diberikan perhatian kerana sekolah perlu menjadi tempat yang menyeronokkan bukan sahaja untuk murid-murid tetapi juga kepada guru- guru.
“Seterusnya, tingkatkan penguasaan kemahiran teknologi pengajaran secara digital terutama guru-guru senior melalui pelatihan berterusan dan pementoran,” katanya.
Kata beliau, perjawatan pembantu guru juga perlu diwujudkan untuk melaksanakan kerja-kerja pengkeranian di sekolah bagi mengekang isu berkenaan.
“Guru perlu kembali memainkan peranan mereka yang sebenar iaitu melaksakan fungsi tugas hakiki dengan mendidik murid- murid dan membina sahsiah murid demi kemenjadian murid,” katanya. – UTUSAN











