Gaji rendah, waktu kerja panjang antara punca doktor kerajaan lari

Gaji rendah, waktu kerja panjang antara punca doktor kerajaan lari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Gaji yang tidak kompetetif, elaun on-call yang tidak berubah sejak lama dan waktu bekerja syif on-call hingga 33 jam antara 10 faktor petugas kesihatan meninggalkan perkhidmatan awam.

Untuk itu, ada keperluan mendesak untuk menubuhkan pasukan petugas khas bagi menangani krisis itu kerana ia mengundang kegusaran kepada pelajar cemerlang untuk memasuki jurusan perubatan yang dikhuatiri kurangnya pelapis dalam bidang kritikal ini.

Menurut sumber dalaman kalangan pegawai perubatan, antara faktor itu ialah gaji kumpulan doktor tidak sepatutnya mengikut standard kakitangan awam lain dan tidak adil sedangkan mereka menjalani latihan bertahun-tahun dan memikul tanggungjawab penting melibatkan hidup dan mati.

“Sistem ini gagal mengiktiraf kemahiran khusus dan sifat kritikal kerja mereka sehingga membawa rasa tidak puas hati dan nilai rendah dalam kalangan doktor. Gaji doktor tidak seharusnya mengikut kadar biasa penjawat awam.

“Kadar elaun on-call yang tidak berubah iaitu RM9.16 sejam merupakan satu penghinaan terhadap dedikasi dan kerja keras pegawai perubatan. Kadar ini jauh lebih rendah berbanding yang ditawarkan di negara maju dan tidak menggambarkan sifat kerja mereka yang kritikal dan meletihkan,” katanya di sini semalam.

Katanya, waktu kerja doktor di hospital kerajaan selalunya tertakluk kepada syif on-call yang panjang sehingga 33 jam.

Ini meletihkan fizikal dan mental yang melampau sehingga memberi kesan kepada keupayaan mereka untuk menyediakan penjagaan berkualiti serta membuat keputusan dalam menyelamatkan nyawa pesakit.

Lebih memburukkan, ramai pegawai perubatan termasuk jururawat mendakwa alami penyalahgunaan kuasa ketua mereka apabila dilarang suarakan kekecewaan dan mengugut dikena tindakan tatatertib.

“Pegawai pentadbiran di Kementerian Kesihatan sering nafi wujudnya isu seperti kekurangan tenaga kerja, kadar on-call yang rendah dan bebanan kerja tanpa mencari jalan penyelesaian konkrit mengakibatkan masalah bertahun-tahun ini terus berlaku.

“Setiap kali hospital atau jabatan menghadapi sebarang masalah, mereka akan mengabaikannya melainkan perkara ini menjadi tular. Mereka kemudiannya akan menyiasat dan akhirnya membuat kesimpulan ‘tiada masalah sama sekali’,” katanya.

Selain itu, katanya, doktor juga ditugaskan dengan kerja-kerja pentadbiran yang berlebihan sekali gus menjejaskan tumpuan utama mereka iaitu penjagaan pesakit.

Jelasnya, kekurangan jaminan pekerjaan dan prospek kemajuan kerjaya juga mendorong lebih ramai tinggalkan sektor kerajaan dan mencari peluang lebih baik di sektor swasta dan luar negara.

“Negara seperti United Kingdom, Ireland, Brunei dan Singapura tawarkan gaji dan keadaan kerja yang jauh lebih baik. Ini digabungkan dengan kekecewaan di Malaysia, membawa kepada kelompongan lebih besar petugas kesihatan apabila semakin ramai mencari padang rumput lebih hijau.

“Kerajaan merancang untuk mengekalkan pegawai perubatan dengan kaedah pemberian biasiswa kepada mereka yang mengambil ijazah sarjana dan skim parallel pathway, tetapi ia bersyarat iaitu bon kontrak tujuh tahun yang mana mereka boleh dikenakan denda sehingga RM350,000 jika melanggar kontrak. Ia satu sistem yang mengikat dan menjerat kumpulan doktor,” katanya.

Dalam hal ini, beliau berkata, kerajaan perlu merombak sistem profesion perubatan dengan kenaikan gaji yang munasabah khususnya kepada kumpulan petugas kesihatan sekurang-kurangnya kenaikan antara 40 hingga 50 peratus.

Peningkatan ketara ini menjadikan gaji lebih menarik, membantu mengekalkan profesion perubatan dalam sistem penjagaan kesihatan awam selain menaikkan elaun doktor on-call sekurang-kurangnya RM25 sejam. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN