PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mengucapkan Selamat Hari Gawai Dayak kepada seluruh masyarakat Dayak khususnya di Sarawak.
Beliau berharap perayaan itu membawa tuah dan rezeki yang lebih baik kepada masyarakat Dayak serta mengukuhkan lagi hubungan persaudaraan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat di Sarawak.
“Pesta tradisi yang disambut etnik Iban, Bidayuh dan Orang Ulu itu bagi meraikan berakhirnya musim menuai mencerminkan kekayaan warisan tradisi masyarakat Dayak,” katanya dalam kenyataan.
Selain itu, kata Timbalan Perdana Menteri, Gawai Dayak juga merupakan satu perayaan yang mengangkat identiti masyarakat Dayak tanpa mengira kaum, agama dan semua fahaman politik.
“Istimewanya Sarawak ialah tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik, semua kaum boleh duduk bersama, makan bersama dan meraikan apa juga perayaan bersama-sama.
“Bukan itu sahaja, disebabkan ini, bumi Kenyalang menjadi contoh dalam soal toleransi, keharmonian dan perpaduan di negara ini,” katanya.
Beliau turut mendoakan mereka yang pulang ke kampung halaman atau rumah panjang bagi meraikan perayaan itu bersama keluarga tercinta agar selamat sampai ke destinasi masing-masing.
“Selamat Hari Gawai, Gayu Guru Gerai Nyamai Lantang Senang Nguan Menua,” katanya. – UTUSAN








