Ekonomi Malaysia di landasan tak betul - Muhyiddin

Ekonomi Malaysia di landasan tak betul – Muhyiddin

Muhyiddin
MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kedudukan Malaysia dalam Raking Daya Saing Dunia yang merudum ke tangga 34 berbanding 27 pada tahun sebelumnya seperti dilaporkan Institut Antarabangsa bagi Pembangunan Pengurusan (IMD) menunjukkan bahawa ekonomi negara berada di landasan tidak betul.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ranking tersebut merupakan satu tamparan hebat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila kedudukan daya saing negara merosot dalam semua bidang kecuali infrastruktur.

“Malaysia mengalami penurunan ketara dalam sub-sektor ekonomi domestik, turun 19 anak tangga di kedudukan ke-35, dalam produktiviti dan kecekapan, jatuh 17 anak tangga di kedudukan ke-53.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Lebih membimbangkan, kecekapan perniagaan di Malaysia, merosot daripada kedudukan ke-24 semasa pandemik Covid-19 melanda negara kepada kedudukan ke-40 tahun ini,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya, semalam.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, skor diperoleh Malaysia di kalangan negara dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita kurang daripada $20,000 iaitu 68.13 mata juga ketinggalan di belakang Thailand (72.51) dan Indonesia (71.52).

“Buat pertama kali dalam sejarah, Malaysia ketinggalan di belakang Indonesia dan Thailand dalam ranking daya saing dunia. Ini adalah suatu fakta yang pahit untuk diterima kerana Malaysia sebelum ini pernah digelar sebagai Harimau Asia dengan kedudukan ekonominya yang kukuh dan berdaya saing,” katanya.

ADS:D

Dalam laporan IMD baru-baru ini, Malaysia berada di kedudukan ke-34 daripada 67 negara dalam Ranking Daya Saing Global (WCR) 2024 dan keempat dalam kalangan negara di Asean selepas Singapura, Thailand serta Indonesia.

Singapura muncul sebagai ekonomi paling kompetitif di dunia, mendaki empat anak tangga dari tahun sebelumnya untuk mengatasi Switzerland di tempat kedua, diikuti Denmark di tempat ketiga.

Ini adalah kali pertama republik itu berada pada kedudukan paling atas di indeks sejak 2020, manakala Thailand di kedudukan ke-25, naik lima anak tangga dan Indonesia di kedudukan ke-27 naik tujuh anak tangga dari tahun lalu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, prestasi Malaysia dalam ranking daya saing dunia adalah lebih baik ketika pandemik Covid-19 iaitu di tangga ke-27 pada tahun 2020 dan tangga ke-25 pada tahun 2021 berbanding sekarang.

Katanya, ia menunjukkan komuniti perniagaan dan perindustrian antarabangsa melihat Malaysia mempunyai potensi ekonomi yang lebih baik pada masa itu berbanding sekarang.

“Ini menunjukkan sesuatu yang amat tidak kena sedang berlaku dalam pengurusan ekonomi negara yang akan memberi impak negatif secara jangka panjang terhadap daya saing ekonomi Malaysia dan kemakmuran hidup rakyat.

“Masakan tidak, sejak mengambil alih pentadbiran negara hampir dua tahun lalu, hampir tidak ada satu pun berita baik tentang ekonomi negara yang diraikan oleh rakyat dan komuniti perniagaan di Malaysia.

“Nilai ringgit merudum, pertumbuhan ekonomi merosot, cukai dinaikkan, subsidi ditarik balik, harga barang mahal, kos sara hidup rakyat meningkat dan kos menjalankan perniagaan juga meningkat,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN