BUTTERWORTH : Berita baik buat pengguna Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) khususnya mereka yang kerap menggunakan laluan Juru-Sungai Dua atau JSD.
Cadangan pembinaan Lebuhraya Bertingkat JSD kini telah memasuki proses kedua iaitu pembentangan PLUS kepada Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) untuk menguruskan projek berkenaan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, mengikut kertas cadangan, lebuhraya bertingkat yang menghubungkan Juru dan Sungai Dua itu adalah sepanjang 15 kilometer (km) dengan anggaran kos projek sekitar RM1.8 bilion.
“Dalam hal ini, kami di Kementerian Kerja Raya (KKR) akan terus membuat penyusulan bagi memastikan perkara itu dapat dilaksanakan dan seterusnya, menghantar kertas Kabinet dalam masa tidak berapa lama lagi.
“Perkara ini (kesesakan lalu lintas di JSD) sudah lama. Sebelum ini, ada cadangan untuk melaksanakan ‘North Corridor Highway’ (Lebuhraya Koridor Utara). Tapi, cadangan itu kelihatan belum dapat dilaksanakan lagi.
“Jadi, kita pergi kepada pelan B (membina lebuhraya bertingkat),” katanya kepada pemberita ketika menghadiri Program Seminar Jalan Bandar @ Penang 2024 di Butterworth Arena yang disempurnakan perasmiannya oleh Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.
Terdahulu, Kon Yeow dalam ucapannya turut menyentuh mengenai projek tersebut yang disifatkannya penting bagi menangani isu kesesakan lalu lintas antara Juru dan Sungai Dua terutamanya ketika waktu puncak.
Dalam pada itu, Ahmad memberitahu, pihak PLUS telah melakukan tinjauan berhubung keperluan untuk mewujudkan lebuhraya berkenaan sejak tahun lepas sebelum perkara tersebut dibentangkan kepada UKAS.
Meskipun tidak dapat memberikan tempoh masa bilakah projek terbabit akan dimulakan, beliau optimis projek itu akan diluluskan dan dimulakan tidak lama lagi.
“Pengerusi Kabinet ialah orang Pulau Pinang (merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan ia (projek lebuhraya bertingkat itu) akan menjadi satu ingatan berkekalan daripada PMX (Anwar) kepada rakyat Pulau Pinang jika ia dapat dilaksanakan sebab itu (isu kesesakan) antara masalah utama jalan raya di sini.
“Jika Pak Lah (bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi) diingati kerana Jambatan Kedua, maka, saya berharap Lebuhraya Bertingkat JSD akan mengingatkan kita kepada PMX dan CM (Kon Yeow),” ujar beliau.-UTUSAN










