ALOR SETAR: Isu ketiadaan beras putih tempatan yang didakwa dibungkus pengilang sebagai beras putih import, sukar dibendung daripada awal kerana petani sendiri tiada pilihan untuk menjual padi mereka kepada pihak yang telus.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang petani yang hanya mahu dikenali sebagai Ishak, 60-an berkata, setelah membanting tulang selama beberapa bulan, mereka perlu memastikan pendapatan selepas menuai padi berbaloi dan setimpal dengan modal dikeluarkan.
Katanya, isu beras tempatan yang dibungkus sebagai beras import berada di luar kawalan petani kerana sebagai penjual padi, mereka sudah tentu akan mencari pembeli atau pengilang yang menawarkan harga belian paling tinggi pada setiap musim.
“Bagi menampung kos input padi termasuk baja, racun dan sewa jentera, kami perlu pastikan hasil yang diperolehi mendapat pulangan baik bagi mengimbangi kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Apabila ada kilang yang boleh beli padi dengan harga RM1,600 setiap tan metrik, mengapa kami hendak jual kepada kilang yang tawarkan harga lantai RM1,300 sahaja. Kalau lima tan padi, kami sudah terlepas RM1,500 setiap musim,” katanya ketika ditemui semalam.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, Setiausaha Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Nur Fitri Amir berkata, kebanyakan kilang berebut membeli padi dengan jumlah yang banyak pada harga RM1,600 per tan bagi membolehkan mereka menjual beras RM40 ke atas dengan menukar kampit yang dicop beras putih import.
Keadaan itu menurutnya, menjadi penyebab mengapa lebih banyak beras putih import terdapat di pasaran berbanding beras putih tempatan walaupun hasil tuaian padi di seluruh negara masih tinggi pada setiap musim.
Seorang lagi petani, Zamri, 50-an turut mengakui dia didekati orang tengah atau broker padi yang menawarkan harga belian padi sebanyak RM1,600 per tan ketika tuaian pada musim tanaman lalu.
“Kos input padi bukan semakin menurun sebaliknya sama-sama meningkat seperti barangan keperluan lain, kalau kami hendak jual kepada pengilang yang ambil paling murah memang rugi banyak.
“Apa yang terjadi dengan beras tempatan selepas itu seperti ditukar menjadi beras import kami tidak boleh buat apa-apa kerana akhirnya sebagai pengguna kami sendiri terpaksa beli beras yang berharga RM40 ke atas bagi kampit 10 kilogram,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Petani di kawasan MADA, Che Ani Mat Zain berkata, pihak berkuasa terutama Kawal Selia Padi dan Beras perlu melipat gandakan tindakan pemeriksaan di pintu-pintu masuk kilang padi.
“Kalau sudah terlepas masuk ke kilang, sukar untuk kita tentukan sama ada ia memang beras import atau beras tempatan yang telah dilabel sebagai import. Memang ada cara untuk buktikannya tetapi ia mengambil masa dan sudah tentu akan menjejaskan bekalan beras di pasaran pula,” katanya. – UTUSAN










