Bersatu hantar notis terhenti serta merta

Bersatu hantar notis terhenti serta merta

Muhyiddin
HAMZAH ZAINUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menyerahkan notis terhenti secara serta-merta kepada enam orang wakil rakyatnya yang melakukan ketidakpatuhan di bawah Fasal 10.4 Perlembagaan parti, hari ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu selaras dengan arahan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang bermesyuarat pada 7 Jun lepas dan setelah dimaklumkan kepada Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang bermesyuarat malam tadi.

“Bagi kes (Ahli Parlimen Labuan) Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman pula, keahlian beliau telah terhenti serta-merta menurut Fasal 10.2.6 Perlembagaan Bersatu.

“Notis terhenti secara serta-merta keahlian telah dihantar kepada beliau lebih awal iaitu pada 17 Mei 2024,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Hamzah, kesemua proses itu telah dilakukan dengan menepati lunas Perlembagaan parti dan perundangan negara.

“Ia sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan dan/atau di bawah undang-undang kerajaan negeri yang berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, MPT Bersatu dilapor memuktamadkan keputusan status tujuh wakil rakyatnya yang berpaling tadah.

Selain Ahli Parlimen Labuan, mereka adalah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli) dan Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).

Mereka mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu pula mengisytiharkan sokongan kepada Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amiruddin Shaari ialah Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×