Bekas jurutera didakwa minta rasuah RM30,000 - Utusan Malaysia

Bekas jurutera didakwa minta rasuah RM30,000

SYAIFUL Marzuki Roslan (kiri) menghadapi pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Bekas jurutera awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan meminta rasuah sebanyak RM30,000 daripada seorang pemilik syarikat, tujuh tahun lalu.

Tertuduh, Syaiful Marzuki Roslan, 43, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Priscilla Hemamalini Nadarajan. 

Mengikut pertuduhan, dia didakwa meminta RM30,000 daripada pemilik syarikat kejuruteraan, Soh Lai Ching sebagai balasan memberi kelulusan kemajuan kerja yang dijalankan syarikat berkenaan bagi projek Tenaga Nasional Berhad (TNB). Wang itu bagi membolehkan bayaran dibuat oleh TNB kepada syarikat itu.

Kesalahan dilakukan di pejabat Tapak Kembang Serantau, Bilik Konsultan, tapak cadangan meroboh empat unit rumah rehat sedia ada dan membina semula kondominium lapan tingkat untuk pekerja TNB di Padang Matsirat, Langkawi pada pukul 4 petang, 18 April 2017.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rasyidah Murni Adzmi dan Pegawai Pendakwa SPRM, Muhamad Taufik Awaludin mengikut Sekyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Tertuduh diwakili peguam, Ahmad Adha Amir Yasser dan Nur Sarah Syamimi Syafie yang turut merayu agar wang jaminan dikurangkan dengan alasan tiada pekerjaan tetap sejak 2017 selain terpaksa menyara isteri serta lima anak dan ibu yang uzur.

Hakim menetapkan wang jaminan sebanyak RM12,000 selain membenarkan permohonan pihak pendakwaan agar pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan 25 Julai ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN