KUALA LUMPUR : Anak kepada pelakon, Azri Iskandar dan Ellie Suriaty, iaitu Azrell Omar Iskandar, tampil mempertahankankan ibunya setelah dikecam cuba masuk campur urusan perkahwinan bekas suaminya itu.
Menurut Azrell, dia juga awalnya tertanya-tanya mengapa ibunya masih mengambil peduli dengan urusan kehidupan Azri sedangkan mereka sudah pun bercerai.
“Sebenarnya saya juga sama seperti netizen lain, bosan dengan cerita pasal mak bapa saya. Iyalah, tak sedap didengar. Anak mana yang suka orang mengata pasal mak ayah mereka bukan?
“Ada yang tanya saya kenapa mak saya macam sibuk-sibuk hal perkahwinan bapa saya, masuk campurlah dan sebagainya. Di sini saya jelaskan.
“Sebagai seorang manusia, kita banyak buat janji dengan orang. Ada yang pegang dengan janji, ada juga yang hidup dengan janji itu. Mak saya ialah orang yang hidup dengan janji itu,”katanya.
Azrell berkata demikian dalam satu hantaran video di Instagram yang dimuat naik malam semalam.
Jelas lanjut, kata Azrell, dia dimaklumkan oleh Ellie bahawa Allahyarham moyangnya telah menitip pesan supaya ibunya itu menjaga Azri dan ia dipegang sebagai satu janji oleh pelakon wanita tersebut.
“Waktu awal-awal mereka berkahwin, arwah moyang saya iaitu nenek kepada bapa telah mempertanggungjawabkan mak saya untuk berada dengan bapa sampai hujung hayat, lebih kurang begitulah.
“Orang tua, kalau sudah betul sayang dan percaya, dia akan beri kata-kata macam itulah.
Mak saya pada waktu itu sampailah sekarang dia berpegang pada janji itu.
“Bagi dia, kalau bercerai sekali pun, janji itu dia kena pegang sampailah dia pergi dulu atau bapa pergi dulu,”katanya.
Tambah Azrell lagi, dia menghormati prinsip ibunya itu kerana berpendapat lain orang lain cara.
“Terus-terang saya pun rasa semak. Tertanya juga, sebab mereka dah bercerai. Tetapi janji tetap janji. Ya betul juga. Tak boleh cakap apa sebab kita dah pegang janji.
“Mungkin definisi orang berbeza. Ada orang, sepanjang dia kahwin, dia pegang janji. Dah bercerai dia anggap dah tak ada kena-mengena.
“Tetapi mak saya lain. Dia tak macam itu. Disebabkan dia seakan sudah diwasiatkan untuk jaga bapa saya. Tak adalah jaga apa sangat, cuma kami ini main peranan sebagai sebuah keluarga,”katanya.
Terdahulu, Ellie dilaporkan banyak membantu menguruskan perkahwinan Azri dengan kekasihnya, Datuk Noora Kay kerana sudah berjanji dengan arwah nenek Azri.
Bagaimanapun, Ellie memaklumkan kepada media bahawa perkahwinan tersebut tidak jadi kerana kedua-dua mereka sudah berpisah.