Azharina dedah derita kencing manis, berpotensi hidap kanser - Utusan Malaysia

Azharina dedah derita kencing manis, berpotensi hidap kanser

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selepas berteka-teki tentang masalah kesihatan yang dialami, penyanyi, Azharina mendedahkan dia menderita penyakit kencing manis sejak November tahun lalu.

Dedahnya, ketika dia bertanding dalam program realiti, Gegar Vaganza All Stars tahun lalu, dia memilih untuk mendiamkan diri dan hanya memberitahu sedang bergelut dengan masalah kesihatan yang dirahsiakan.

“Saya didiagnos menghidap kencing manis pada November tahun lalu. Ketika berada di Australia, saya selalu rasa sakit haus dan sentiasa perlu buang air kecil. Jadi saya jumpa doktor pakar.

“Doktor mengesahkan saya menghidap kencing manis. Ketika bertanding di GV All Stars, saya memilih untuk tidak bercerita tentang hal ini. Bukan waktu yang sesuai untuk saya kongsi terutama kepada peminat,” ujarnya.

Azharina mendedahkan perkara tersebut dalam program temubual, No Filter bersama Elly Mazlein baru-baru ini.

Dalam pada itu, penyanyi Seandainya itu, dia juga pernah melakukan pemeriksaan kesihatan selepas didiagnos kencing manis dan doktor mendapati dia berpotensi besar untuk menghidap kanser.

Jelasnya, doktor juga bakal melakukan rawatan susulan dalam menentukan dia perlu menjalani pembedahan atau kemoterapi.

“Sebelum GV All Stars bermula, saya ada buat pemeriksaan kesihatan. Keputusan kesihatan semua baik, tetapi bacaan untuk kanser sangat tinggi. Doktor nasihatkan saya untuk jalani ujian Pengimejan Resonans Magnetik (MRI).

“Tetapi ketika itu saya sedang giat latihan untuk bertanding, saya minta masa buat ujian itu selepas GV. Tetapi setiap minggu, saya kena ambil drip daripada doktor.

“Sampai satu tahap, badan saya tak tahan, sangat penat. Ada satu tahap, berdarah tanpa henti bermula minggu keenam sampai akhir,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN