BUTTERWORTH : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau tidak turun berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap kerana mahu memberi fokus sepenuhnya terhadap pembangunan ekonomi negara.
Justeru, beliau berkata, kepercayaan sepenuhnya telah diberikan kepada jentera parti bagi memastikan kempen kali ini bergerak lancar.
“Saya tak pergi Sungai Bakap kerana saya fikir saya terus kerja petang ini, kita jumpa Tan Sri Khalid Ramli, Jawatankuasa Pemandu, Pegawai Daerah dan lain-lain untuk membincangkan soal pembangunan projek-projek bumiputera di Pulau Pinang.
“Kita jalankan kerja sahaja dan saya minta kawan-kawan faham,” katanya ketika berucap pada Karnival Tekun MADANI di Seberang Perai (SP) Arena, Seberang Jaya di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar yang juga Presiden PKR berkata, beliau yakin akan kepimpinan Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid dan kesatuan gerak kerja jentera yang telah menjalankan kempen sejak lapan hari yang lalu.
“Saya tidak bertanding di Sungai Bakap, saya tak pergi pun Sungai Bakap. Hari itu dari Kerian (Perak) cuma singgah minum kopi, (kemudian) terus balik.
“Sebab saya ingat tak apalah. Serah (kepada) anak-anak buah, ada Mohamad (TKM1) dan kawan-kawan, buatlah kerja. Saya tumpu masalah ekonomi dan masalah bangunkan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati jentera supaya tidak ‘melayan’ caci maki yang dilontarkan pihak lawan menerusi kempen pihak lawan yang berlangsung.
“Kalau dengar (kempen) Sungai Bakap, maki berbakul-bakul, dah jadi lawan maki. Jadi, saya pesan kepada kawan kawan, kita tak payah lawan maki sebaliknya terang kepada mereka apa yang kita buat.
“(Ada kempen) maki orang, caci orang, (kalau) tidak setuju dengan dia, (gelar) Yahudi, tak setuju dengan dia (panggil) kafir, tak setuju dengan dia (dikatanya) mungkar, apa (jenis) dakwah begitu, mana (kaedah) dakwah ‘bilhikmah’,” katanya.-UTUSAN










