ALOR SETAR: Kelajuan angin sehingga 70 kilometer sejam (km/j) direkodkan Stesen Meteorologi Alor Setar ketika kejadian ribut membadai beberapa kawasan di negeri ini, awal pagi ini.
Menurut Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Kedah, Muhammad Khalil Abd. Aziz, kelajuan angin dipercayai lebih tinggi di kawasan kampung tetapi tidak dapat direkodkan ekoran ketiadaan stesen meteorologi.
“Pergerakan angin di kawasan kampung-kampung dianggarkan lebih laju apabila melihat keadaan rumah penduduk yang agak teruk termasuk pokok-pokok tumbang,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan sekurang-kurangnya tujuh buah rumah rosak dalam kejadian ribut yang melanda sekitar Kubang Pasu, selain turut mengakibatkan banyak pokok tumbang di beberapa lokasi.
Sementara itu, Muhammad Khalil berkata, negara dijangka menerima tiupan angin baratan kencang sehingga pertengahan tempoh yang diramalan iaitu 25 atau 26 Jun ini.
“Selepas tempoh tersebut, angin mulai melemah dan angin dari pelbagai arah mula bertiup di rantau negara sehingga akhir tempoh ramalan,” ujarnya.
Tambah beliau, pengaruh angin baratan dijangka berpotensi bagi pembentukan garis badai pada awal pagi di pantai barat Semenanjung Malaysia, utara Sarawak dan barat Sabah.
“Kejadian ribut petir dijangka berlaku pada sebelah petang dan boleh berlarutan hingga ke malam terutama di kawasan pedalaman dan pantai timur Semenanjung Malaysia, barat dan pedalaman Sabah serta utara dan pedalaman Sarawak sepanjang tempoh ramalan iaitu sehingga 29 Jun,” tambahnya.- UTUSAN








