KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah, ingin melupakan episod duka rumah tangganya bersama Aliff Aziz dan memberi fokus menjaga kedua anaknya.
Bella atau Dayang Ara Nabella Awang Astillah, 30, bertekad mahu memberikan kehidupan yang lebih bahagia buat anaknya Ayden Adrean, 6, dan Ara Adreanna, 3.
“Alhamdulillah semuanya sudah selesai. Saya bersyukur sebab urusan perceraian ini dipermudahkan.
“Sebenarnya saya tidak mahu memanjangkan perkara ini dan tidak berharap apa-apa daripada Aliff. Sekarang ini adalah fasa untuk melupakan sahaja. Itu jauh lebih penting,” katanya.
Bella berkata demikian ketika diminta berkongsi perancangannya selepas bercerai dengan Aliff Aziz di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, semalam.
Dalam pada itu, penyanyi Tenang itu juga bersetuju tidak membuat apa-apa tuntutan mutaah, iddah dan harta sepencarian selepas Aliff memberikan hak penjagaan anak kepadanya.
“Syukur Alhamdulillah, sebab itu saya tidak buat sebarang tuntutan. Bagi saya harta yang paling bermakna ialah anak-anak.
“Bila ada anak-anak saya sudah bersyukur,” katanya yang belum memaklumkan perceraian ini kepada anaknya.
Ditanya adakah Bella akan berbaik dengan Aliff atas dasar kawan, pelakon Aku Tanpa Cintamu itu bagaimanapun menyerahkan semuanya kepada takdir.
Sementara itu, menerusi hantaran dalam media sosial selepas perceraian, Bella sempat menyindir sahabat baiknya, Ruhainies yang menjadi punca keretakan rumah tangganya.
“Buat kali terakhir saya ingin mengucapkan tahniah kepada bekas sahabat saya, Ruhainies kerana berjaya meruntuhkan masjid ini dan anak-anak saya kehilangan bapa mereka,” tulisnya.
Terdahulu pada Khamis, Aliff Aziz dan Bella Astillah, sah bercerai talak satu kali kedua, pada pukul 1 petang di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Lafaz cerai dilakukan di hadapan Hakim Syarie Wan Mohd. Najib Wan Hamat selepas mahkamah membenarkan permohonan cerai difail Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984.
Sementara itu, ibu Bella, Siti Zarina Astillah melahirkan rasa lega apabila episod kemelut rumah tangga anaknya akhirnya terlerai.
Sebelum prosiding perceraian semalam, Zarina sempat berdoa agar urusan di mahkamah dipermudahkan.
“Syukur semuanya sudah selesai. Doa yang baik-baik itu sahajalah,” katanya.
Namun begitu, Zarina mengunci mulut ketika ditanya seandainya ada ruang untuk Bella dan Aliff berbaik semula pada masa mendatang. – UTUSAN










