PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan menerima Darjah Kebesaran Persekutuan yang dipersembah oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi perkongsian di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka menerima Darjah Yang Maha Utama Kerabat Diraja Malaysia (DKM) manakala Raja Permaisuri Agong berkenan menerima Darjah Utama Seri Mahkota Negara (DMN).
Darjah Kebesaran DKM dipersembah oleh Kerajaan Persekutuan kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang dilantik menjadi Yang di Pertuan Agong.
Darjah Kebesaran DMN pula dipersembah kepad Raja Permaisuri Agong dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang ditabalkan menjadi Sultan dan Raja di negerinya serta orang-orang yang paling dihormati.
Majlis tersebut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Yang hadir sama Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz; Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman; Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain
Selain itu, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM, Datuk Awang Alik Jeman dan Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad. – UTUSAN










