SHAH ALAM: Kedudukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor akan ditentukan selepas Speaker, Lau Weng San menerima surat jawapan daripada beliau.
Kedudukan tersebut dijangka akan diputuskan pada Sidang DUN Selangor yang berjadualkan berlangsung bermula pada Khamis depan.
Abdul Rashid berkata, beliau sudah pun bertemu dengan Weng San dan diberitahu masih lagi kekal sebagai ADUN sehingga keputusan dibuat berdasarkan fakta dan jawapan diterima daripadanya.
“Dalam perbincangan tersebut, meneliti tentang keterangan-keterangan, fakta-fakta dan bukti-bukti yang ada, Speaker mengambil keputusan yang beliau masih lagi belum membuat apa-apa keputusan dan masih lagi memerlukan fakta-fakta dan akan menulis surat kepada saya untuk tujuan tersebut.
“Insya-Allah apabila saya menerima surat Speaker, saya akan jawab, selepas itu beliau akan membuat keputusan muktamad sama ada perlu atau tidak kerusi DUN Selat Klang dikosongkan kerana tugas beliau adalah memberi keputusan muktamad dan tidak boleh dipersoalkan.
“Pada 4 Julai nanti, saya akan hadir di sidang DUN seperti biasa, seperti kata Speaker ‘business as usual’. Jadi, tidak akan dipindahkan kerusi saya, saya akan duduk di tempat yang sedia ada. Pada masa ini, itulah keputusan yang dibuat oleh Speaker,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Malah jelasnya, notis gugur keahlian yang diberikan oleh Setiausaha Agung Parti Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin kepadanya sebelum ini tidak berkesan apabila pindaan perlembagaan parti itu berkuatkuasa pada 1 April lalu.
“Pada saya, dari segi undang-undang, Bersatu tidak boleh menggunakan pindaan tersebut untuk mengambil tindakan terhadap saya kerana ia tidak boleh digunapakai kerana tindakan saya menyokong kerajaan negeri adalah sebelum pindaan dibuat.
Abdul Rashid menjadi salah seorang daripada tujuh wakil rakyat Bersatu yang sebelum ini mengisytihar sokongan kepada Kerajaan Perpaduan dengan menyokong kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.
Bagaimanapun, tindakan beliau itu menyebabkan Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyerahkan notis kekosongan luar jangka kerusi DUN Selat Klang kepada Weng San selepas notis gugur keahlian diserahkan kepada Abdul Rashid.
Dalam pada itu, Abdul Rashid yang juga bekas Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Selangor memaklumkan menyerahkan kepada Speaker untuk menentukan tempoh masa bagi mengutus surat kepadanya dan memutuskan kedudukannya sebagai ADUN.
“Terpulang kepada Speaker (tempoh) sebab beliau akan hantar surat kepada saya dan saya akan menjawab surat tersebut, sama ada beliau akan membuat keputusan dalam tempoh 21 hari ataupun tidak, itu terpulang kepada kebijaksanaan Speaker.
“Saya pasti tentang perkara itu (rujuk ke kamar Penasihat Undang-Undang Negeri), tetapi saya difahamkan beliau sudah pun berbincang dengan Speaker Dewan Rakyat dan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang), tetapi perkara itu di luar pengetahuan saya,” ujarnya.
Sebelum ini, selain Abdul Rashid, enam ahli Parlimen dari Bersatu mengisytihar sokongan kepada Kerajaan Perpaduan, bermula dengan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid.
Kemudian Datuk Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd. Azizi Abu Naim (Gua Musang dan Nenggiri), Zahari Kechik (Jeli), Syed Abu Hussin dan Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang). – UTUSAN











